Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Cari Titik Persamaan Perkasakan Lagi Perpaduan Kaum – Zahid

Cari Titik Persamaan Perkasakan Lagi Perpaduan Kaum – Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata perpaduan kaum di negara ini perlu diperkasakan lagi menerusi titik-titik persamaan masyarakat majmuk.

Beliau berkata perpaduan kaum bukanlah sekadar ‘tempelan’, tetapi diperkasakan menerusi hati dan pemikiran yang lebih terbuka.

“Soal perpaduan dan soal kejiranan bukan lagi sesuatu yang bersifat sementara seperti menyertai majlis keraian, hari sukan dan kenduri. Ia perlu disertai dengan hati dan pemikiran yang lebih terbuka,” katanya pada majlis Perhimpunan Rukun Tetangga 1Malaysia 2016 di Taman Tasik Titiwangsa di sini.

Beliau berkata generasi baharu kini juga perlu dipupuk dan dididik dengan perasaan cinta dan menghormati semua kaum, bangsa dan agama.

“Saya harap agar dapat generasi baharu dapat digembleng untuk mewujudkan perpaduan. Sesuatu harus dilakukan dan perubahan secara holistik mesti diperkasakan agar perpaduan di negara ini dapat dikecapi,” katanya.

Beliau berkata Rukun Tetangga juga perlu dijenamakan semula sebagai instrumen untuk memperkasakan perpaduan seiring dengan perkembangan semasa.

Katanya pengisian Rukun Tetangga perlu diubah dengan memberi penekanan terhadap aspek kepedulian dan bukan hanya tertumpu kepada interaksi semata-mata.

Turut hadir pada majlis perhimpunan berkenaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup dan lebih 7,000 komuniti Rukun Tetangga dari seluruh negara.

Leave a Reply

Top