Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing BNM Sekitar 1990-an diberitahu, Pejabat Peguam Negara tidak menerima sepenuhnya cara Bank Negara Malaysia (BNM) mentafsirkan undang-undang berhubung urus niaga mata wang asing.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Ainum Mohd Saaid, 71, berkata ia berdasarkan surat BNM kepada Pejabat Peguam Negara bertarikh 9 Februari 1990 untuk perhatian beliau yang ketika itu adalah Ketua Bahagian Penasihat, bertajuk ‘Foreign Exchange Transactions By Bank Negara Malaysia’.

Katanya, surat itu ditandatangani bekas Pengurus/Penasihat Jabatan Bank BNM ketika itu, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Sehubungan itu, Ainum berkata, Pejabat Peguam Negara menulis surat bertarikh 21 Februari 1990 kepada Ketua Audit Negara dan Gabenor BNM dengan menasihati bagaimana untuk mentafsirkan undang-undang urus niaga mata wang asing.

Katanya, kandungan surat bertajuk ‘Forex Trading By Bank Negara’ dibincangkan terlebih dulu dengan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abu Talib Othman.

“Ketua Audit Negara melalui surat bertarikh 23 dan 31 Januari 1990, memohon nasihat melalui aspek perundangan daripada Pejabat Peguam Negara berhubung urus niaga mata wang asing dilaksanakan BNM ketika itu, sama ada bertentangan peruntukan dalam Ordinan Bank Pusat 1958.

“Pejabat Peguam Negara ketika itu tidak memberikan jawapan atau arahan spesifik kepada isu perundangan yang dibangkitkan Ketua Audit Negara, sebaliknya melalui surat bertarikh 21 Februari 1990, mengarahkan isu itu diputuskan sendiri oleh Jabatan Audit Negara dan BNM.

“Ia berikutan Pejabat Peguam Negara hanya bertanggungjawab mentafsirkan undang-undang tetapi tidak berupaya memberi nasihat mengenai aktiviti kewangan BNM yang mana ia tidak mempunyai kepakaran.

“Pejabat Peguam Negara tidak bertanggungjawab memberi jawapan dan panduan terhadap persoalan berhubung isu perundangan yang dibangkitkan Ketua Audit Negara, sebaliknya hanya boleh memberikan nasihat undang-undang,” katanya.

Ainum berkata, isu yang dibangkitkan itu memerlukan pengetahuan dan pandangan pakar, yang mana Pejabat Peguam Negara atau Peguam Negara tidak mempunyai kepakaran atau diberi kuasa untuk membuat keputusan dalam hal berkaitan kewangan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *