Caj visa SR2,000 (kira-kira RM2,120) dijangka dilaksanakan pada Oktober bagi setiap permohonan untuk mengerjakan haji dan umrah, hanya melibatkan ibadat kali kedua dan seterusnya, menurut Lembaga Tabung Haji (TH) pada Khamis.

TH dalam kenyataan berkata bagi sesiapa yang mengerjakan haji dan umrah buat pertama kali, tiada caj visa dikenakan.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan beberapa akhbar Arab Saudi pada 9 Ogos mengenai semakan semula kadar caj visa itu mulai 2 Oktober ini.

“TH akan memaklumkan apabila pemberitahuan rasmi diterima daripada kerajaan Arab Saudi mengenai kadar caj visa haji dan umrah,” kata badan pengurusan haji Malaysia itu.

TH berkata umum maklum bahawa bagi jemaah Malaysia yang mengerjakan haji kali kedua, TH mengenakan bayaran haji sebenar bagi tahun semasa tanpa subsidi.

“Oleh yang demikian, apabila caj visa itu dikuatkuasakan, tambahan kos visa sebanyak SR2,000 itu akan ditanggung sepenuhnya oleh jemaah berkenaan,” kata kenyataan itu.

TH berkata langkah semakan itu diperkenalkan kerajaan Arab Saudi bagi memberi ruang kepada umat Islam yang masih belum menunaikan ibadah haji untuk berbuat demikian.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *