Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) membuka peluang kepada syarikat peringkat pertengahan menyertai Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP), bagi gelombang empat.

Permohonan itu dibuka sehingga akhir suku pertama tahun depan dan dijangka berlangsung pada pertengahan atau akhir suku kedua 2017.

Timbalan Menteri Miti, Datuk Chua Tee Yong berkata, MTCDP terbuka kepada semua syarikat dari pelbagai sektor, yang mempunyai perolehan tahunan antara RM50 juta dan RM500 juta dalam sektor pembuatan serta antara RM20 juta dan RM500 juta (sektor perkhidmatan).

Syarikat tersebut perlu melakukan eksport dan berminat meningkatkan jumlah dagangan serta mengikuti program di bawah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

“Bagi gelombang empat MTCDP, kami menyasarkan 30 hingga 50 syarikat akan dipilih menyertainya namun, ia bergantung kepada jumlah permohonan diterima dan syarikat yang layak.

“Syarikat yang berminat boleh menghubungi Matrade. Permohonan mereka kemudian melalui proses saringan yang dikendalikan Matrade, sebelum dipilih,” katanya pada sidang media, sempena lawatan syarikat MTCDP ke Hyrax Oil Sdn Bhd (Hyrax Oil) di Klang, baru-baru ini.

Tee Yong berkata, pada tahun ini, syarikat pertengahan di bawah Program Ramp-Up berjaya mengembangkan eksport sebanyak tujuh peratus.

Sejak MTCDP diperkenalkan pada 2014, katanya, 152 syarikat pertengahan menyertainya, menerusi gelombang satu, dua dan tiga.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *