Selama ini kita banyak mendengar kes penculikan dan perhambaan melibatkan kanak-kanak perempuan.

Namun tahukah kita eksploitasi dan perhambaan seks kanak-kanak bukan hanya melibatkan kanak-kanak perempuan, malah turut melibatkan kanak-kanak lelaki.

Shirin adalah antara 13 individu yang dikesan dan ditemubual di tiga wilayah Afghanistan atas pendedahan eksploitasi kanak-kanak lelaki bagi tujuan perhambaan seks di negara itu.

Menurut Shirin, seperti yang dipetik menerusi AFP, anak-anak atau ahli keluarga mereka telah diculik ambil untuk eksploitasi oleh pedofil.

Kata Shirin, keluarga terpaksa bergelut melalui pelbagai kesusahan untuk membebaskan anak lelaki, anak saudara lelaki dan sepupu lelaki daripada dirogol dan terus dijadikan mangsa perhambaan.

“Saya masih ingat keadaan adik ipar saya sewaktu mereka menculiknya. Dia yang hanya berusia 13 tahun hanya mampu menjerit dan meronta ketika diculik dari rumahnya pada awal tahun ini oleh komander polis di selatan Helmand.

“Apabila saya merayu mereka membebaskannya, mereka mengangkat pistol dan mengugut untuk membunuh seluruh keluarga kami. Kami juga diberitahu supaya lupakan sahaja tentang adik ipar saya,” katanya seperti yang dilapor AFP.

“Anak-anak lelaki kami, saudara lelaki kami diculik secara terbuka! Di mana kita perlu dapatkan bantuan? Kepada siapa kami perlu mengadu? (Adakah) Kepada Taliban?” soalnya.

Difahamkan, nama-nama mangsa dan penculik terpaksa dirahsiakan demi melindungi keselamatan kanak-kanak lelaki yang berada dalam tangan kumpulan penculik itu.

Memetik laporan AFP, kebanyakan mangsa diculik pada siang hari dari rumah mereka, ladang atau taman permainan.

Kesemua mangsa kemudiannya dibawa dan ditukarkan antara pusat pemeriksaan polis dengan tujuan untuk merumitkan usaha mengesan mereka.

Bagi seorang bapa, Sardarwali, harapan untuk dipertemukan semula dengan anak lelakinya semakin tipis dari hari ke hari.

Namun selepas berbulan mencari, dia akhirnya ternampak kelibat anaknya yang diculik di sebuah pasar sesak di daerah Gereshk, Helmand.

Anaknya yang dulu hanya seorang budak kecil; yang suka bermain dengan adik-adiknya, kini ditemui berpakaian jubah bersulam halus dan memakai songkok  bersulam perhiasan.

Sardarwali yang pada mulanya cuba mendekati dan menarik tangan anak lelakinya, bagaimanapun terpaksa membatalkan niat apabila melihat kumpulan penculik mengepung anaknya.

“Saya melihat dia hilang sekali lagi di depan mata saya.

“Ibunya hampir gila kerana terlalu sedih. Dia tidak boleh berhenti menangis. Kami telah kehilangan anak kami selama-lamanya,” ujarnya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *