Anda di sini!
Utama > Hiburan > Bront Tak Bercadang Hijrah Ke Indonesia

Bront Tak Bercadang Hijrah Ke Indonesia

Selepas membintangi filem pecah panggung, Pengabdi Setan, Bront Palarae belum berhasrat berhijrah ke Indonesia biarpun dihujani tawaran berlakon di negara itu.

Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin, 38, memberitahu, banyak perkara perlu difikirkan, terutama membabitkan isteri dan anak perempuannya yang berusia 18 bulan.

“Kadang-kala anak saya merajuk sebab sudah lama tidak memandang wajah bapanya. Mungkin kerana dia sedang membesar, namun saya harus bijak membahagikan masa menguruskan kerjaya dan keluarga.

“Buat masa ini, saya belum berhasrat menetap di Indonesia biarpun isteri ada memberikan cadangan untuk kami tinggal bersama di sana.

“Lagipun, anak perempuan kami masih kecil dan banyak perkara perlu dititik beratkan sebelum mengambil keputusan besar begitu,” dipetik sebagai berkata.

Filem terbitan produksi Indonesia, Pengabdi Setan arahan Joko Anwar sedang ditayangkan di Malaysia. Ia mengisahkan watak Bapak lakonan Bront yang kematian isteri, namun rohnya kembali melawat anak mereka.

Bront bersyukur mendapat banyak tawaran selepas kemunculannya dalam filem seram itu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur peluang semakin terbuka luas di Indonesia dan filem Pengabdi Setan menerima sambutan menggalakkan. Saya mengaku bukan mudah untuk mengatasi ‘standard’ yang dibuat Syamsul Yusof menerusi filem Munafik.

“Saya mengambil masa untuk menerima tawaran menjayakan watak bapa berusia 50-an dalam filem berkenaan. Namun, saya jatuh cinta sejurus membaca skripnya,” katanya.

Leave a Reply

Top