Perdana Menteri Britain, Theresa May secara rasmi telah memulakan proses untuk ‘berpisah’ dari Kesatuan Eropah (EU) dengan menggunakan Artikel 50 Perjanjian Lisbon pada Rabu lalu.

Detik bersejarah itu diumumkan selepas May menandatangani surat sebanyak enam muka  yang memaklumkan tentang Brexit yang kemudiannya diserahkan kepada Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk.

Ia disifatkan sebagai salah satu langkah paling penting yang diambil pemimpin British sejak Perang Dunia Kedua, sekali gus menandakan berakhirnya keanggotaan negara itu dalam EU selama 44 tahun selepas menyertainya pada 1973.

Proses keluar yang rumit mengambil masa selama dua tahun itu dilihat akan menguji perpaduan blok tersebut selain mencetuskan tanda tanya terhadap masa depan Britain.

“Britain akan meninggalkan EU. Ia adalah detik bersejarah dan kami tidak akan berpatah balik,” kata May ketika berucap di Parlimen kira-kira sembilan bulan selepas London mengejutkan pelabur dan pemimpin dunia dengan referendum Brexit.

Britain mempunyai tempoh 24 bulan untuk berunding tentang syarat Brexit sebelum ia berkuat kuasa pada akhir Mac 2019.

May kini berdepan tugas paling sukar selepas Scotland berkeras mahu mengadakan referendum kedua untuk keluar dari Britain selain perlu mengadakan rundingan bersama 27 negara anggota EU berhubung pelbagai isu termasuk kewangan, perdagangan dan keselamatan.

Hasil rundingan akan membentuk masa depan ekonomi Britain yang merupakan negara ekonomi kelima terbesar di dunia dan menentukan sama ada London kekal sebagai salah satu daripada dua pusat kewangan utama global.

EU sendiri sudah merasai bahang daripada krisis berlarutan seperti isu pelarian.

Kehilangan Britain akan memberi satu tamparan hebat kepada usaha selama 60 tahun blok itu untuk menjalin perpaduan Eropah selepas Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Pemimpin EU menyatakan mereka enggan menghukum Britain atas keputusan itu.

Tetapi, kebangkitan nasionalis dan parti anti-EU di seluruh Eropah menyebabkan mereka bercadang meletakkan ‘syarat lebih ketat’ ke atas London kerana bimbang negara anggota lain bakal mengikut jejak langkah Brexit.

Sebelum ini, May telah berjanji untuk mendapatkan akses yang besar terhadap pasaran Eropah, namun beliau menyatakan Britain tidak berhasrat untuk memohon keanggotaan ‘pasaran tunggal’ kerana pemimpin tersebut percaya tidak wajar mengambil pendekatan selektif ke atas kawasan perdagangan bebas berdasarkan pergerakan tidak terhad dalam barangan, perkhidmatan, modal dan rakyat.

London mahu mewujudkan tawaran perdagangan bebas sendiri dengan negara di luar Eropah dan mengenakan had imigrasi dari rantau tersebut.

Dalam usaha untuk memulakan rundingan Brexit secara damai, May memberitahu beliau mahu satu perkongsian khas dengan EU iaitu hubungan yang jelas tentang ekonomi dan keselamatan.

Pada Jun lalu, referendum Brexit menyaksikan Britain memutuskan untuk keluar dari EU selepas kempen yang membahagikan negara tersebut.

Keputusan pungutan suara itu menunjukkan 52 peratus mengundi ‘keluar’ manakala 48 peratus lagi mahu kekal di dalam blok terbabit.

Penduduk di Scotland dan Ireland Utara jelas mahu terus berada dalam EU manakala England dan Wales dengan gabungan penduduk lebih besar menyokong Brexit.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *