Perbadanan Tabung Pendidikan TinggiNasional (PTPTN) melancarkan kempen #BolehBincang kepada peminjamnya dalam usaha untuk membantu menyelesaikan bayaran balik pinjaman.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, menerusi kempen #BolehBincang tersebut, peminjam boleh berunding dengan PTPTN dengan mudah serta cepat melalui pelbagai saluran yang disediakan.

 “PTPTN prihatin dan menyedari bahawa terdapat peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman mereka tetapi khuatir tiada jalan penyelesaian dengan tunggakan bayaran balik sudah terlalu tinggi.

“Oleh itu, PTPTN mengalu-alukan peminjam tersebut untuk berbincang dengan pihak kami bagi mencari penyelesaian,” katanya selepas melancarkan kempen tersebut di Hotel Seri Pacific, hari ini.

Menjelas lebih lanjut mengenai kempen tersebut, Shamsul Anuar memaklumkan bahawa perbincangan merupakan proses perundingan di antara peminjam dan PTPTN dalam menyelesaikan masalah bayaran balik mereka sama ada berkaitan jumlah tunggakan mahupun ansuran bulanan.

Menurut beliau, semasa perbincangan, peminjam akan ditawarkan penstrukturan semula pinjaman oleh PTPTN.

“Ini bermakna peminjam dibenarkan membuat ansuran bayaran balik yang lebih rendah iaitu mengikut kemampuan mereka melalui pemanjangan tempoh bayaran balik.

“Ia adalah tertakluk kepada jumlah ansuran minimum antara 6 peratus hingga 8 peratus daripada pendapatan kasar dan had umur ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul memaklumkan bahawa pihaknya berharap agar seramai 2.6 juta orang peminjam PTPTN di negara ini dapat berunding bagi menjelaskan pinjaman yang telah diperolehi mereka sebelum ini.

Beliau berkata, sejak penubuhan PTPTN, terdapat seramai kira-kira 663,000 orang peminjam yang masih gagal menjelaskan semula bayaran balik pinjaman mereka.

“Seramai 663,000 orang peminjam masih gagal membuat bayaran balik melibatkan RM4.7 bilion,” katanya.

Dalam membuat penstrukturan semula pinjaman, Shamsul Anuar memaklumkan bahawa peminjam juga tertakluk untuk membuat sedikit bayaran pendahuluan.

Bagi peminjam yang membuat bayaran balik mengikut jadual dan ingin membuat pertukaran Ujrah, beliau memaklumkan bahawa tiada sebarang bayaran pendahuluan akan dikenakan.

“Namun bagi peminjam yang mempunyai tunggakan atau tidak pernah membuat bayaran balik, mereka perlu membuat bayaran pendahuluan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah tunggakan sebagai komitmen daripada peminjam,” katanya.

Selain daripada itu, Shamsul Anuar menjelaskan bahawa PTPTN telah meningkatkan kemudahan perkhidmatan Careline 03 – 2193 3000 dengan melanjutkan waktu operasinya bermula 8 pagi hingga 10 malam, tujuh hari seminggu kecuali pada cuti umum.

Tambah beliau, peminjam juga boleh berbincang dengan Eksekutif Pemasaran PTPTN yang berada di seluruh negara bagi mendapatkan khidmat nasihat serta mengadakan rundingan berhubung bayaran balik pinjaman mereka.

“Selain itu, PTPTN juga telah membuka kaunter di Balai Perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2(KLIA2) yang beroperasi selama 24 jam, tujuh hari seminggu termasuk cuti umum,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *