Anda di sini!
Utama > Hiburan > Blok 404 Mula Penggambaran

Blok 404 Mula Penggambaran

Filem Blok 404, yang diangkat daripada telefilem bercorak cemas menggunakan judul sama 14 tahun lalu, memulakan proses penggambarannya sejak 8 Jun lalu.

Ketika diedarkan dalam bentuk video cakera padat (VCD) sekitar 2003, telefilem Blok 404 pernah mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat.

Selain mengekalkan pelakon asal seperti Zamarul Hisham, Raja Azrey, Datuk Boy Iman dan Nabila Huda, filem yang diarahkan Azma Aizal Yusoof itu turut menampilkan beberapa wajah baharu seperti Risteena Munim dan Amar Ashraf.

Boy Iman, 37, yang turut bertindak sebagai penerbit bagaimanapun memberitahu, versi filem tidak mempunyai kaitan dengan telefilem berkenaan.

“Ia sebuah cerita baharu dan bukan kesinambungan kepada kisah lama. Beberapa watak baharu juga diwujudkan selain mengekalkan watak lama.

“Kami juga berdepan sedikit masalah pada awalnya apabila Nabila yang memegang watak Su terikat dengan penggambaran sebuah drama lain,” katanya.

Menurut Boy Iman lagi, mereka turut mewujudkan watak Misha lakonan Risteena bagi memberikan elemen berbeza kepada naskhah terbabit.

“Asalnya kita turut menawarkan watak itu kepada Ozlyn Waty, Janna Nick, Nora Danish dan Ayda Jebat. Namun, mereka tidak dapat membabitkan diri dalam filem ini apabila sudah terikat dengan projek lain,” katanya yang menjangkakan penggambaran filem itu, yang mengambil lokasi utama di Hulu Langat, Selangor, berakhir pada 21 Jun ini.

Kata pelakon itu lagi, pada awalnya beliau terfikir untuk mengarahkan sendiri filem itu. Begitupun selepas membuat pertimbangan sewajarnya, beliau berasakan tugas berat itu seharusnya diserahkan kepada pengarah lebih berpengalaman.

Leave a Reply

Top