SEPANG, Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) sedang giat berusaha untuk membawa pulang dua lagi mangsa sindiket dadah, yang kini menjalani hukuman penjara di Peru.

Pengerusinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata walaupun mengetahui ada kerumitan yang akan berlaku, pihaknya akan menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin.

Beliau berkata, BiKUM juga sudah berjumpa dengan beberapa pihak di Peru bagi membantu dalam proses membawa pulang dua rakyat Malaysia.

“Saya dan BiKUM berharap kes seumpama ini menjadi pengajaran kepada semua supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan individu tidak dikenali,” katanya.

Kenyataan Shamsul itu dibaca oleh Setiausaha BiKUM, Awie Shoubli Jamal kepada pemberita selepas selesai proses dokumentasi membawa keluar jenazah mangsa sindiket dadah antarabangsa, Shyzlin Hathaman di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Proses membawa pulang jenazah diuruskan oleh Wisma Putra dan pihak berkuasa di kargo KLIA serta BiKUM.

Sementara itu, Shamsul berkata, pihaknya akan melaksanakan beberapa program dan kempen kesedaran supaya rakyat tidak terjebak menjadi mangsa sindiket dadah antarabangsa.

Beliau berkata, kempen berkenaan diharapkan dapat membuka mata rakyat supaya tidak mudah percaya dengan orang tidak dikenali sehingga menjadi mangsa penipuan sindiket.

Terdahulu, jenazah Shyzlin, 43, selamat tiba di tanah air pada jam 2.30 petang tadi menerusi penerbangan KL809 sebelum menjalani proses dokumentasi selama dua jam di Kargo KLIA.

Shyzlin meninggal dunia pada 7 Oktober lalu di Lima, Peru kerana komplikasi beberapa penyakit selepas dimasukkan ke hospital di negara itu, baru-baru ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *