Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Biar Putih Tulang, Jangan Putih Mata

Biar Putih Tulang, Jangan Putih Mata

KUALA LUMPUR, ‘Biar putih tulang, jangan sekali putih mata’.

Pendirian itu menjadi pegangan UMNO Kelantan yang mahu mengembalikan maruah parti mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Solidariti yang semakin subur dalam segenap lapisan akar umbi memberi petanda positif untuk UMNO memayungi bumi Kelantan, selain tujuh dekad menjadi parti nombor satu memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

Perwakilan UMNO Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata ikrar perjuangan itu disokong dengan kesepakatan parti yang tidak pernah bernoktah.

“Kita yakin, walau apapun badai melanda, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Kelantan akan menjadi milik UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dapat disaksikan menerusi pertambahan bilangan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) PRU lalu pada 2013 berbanding 2008.

“Tidak mustahil sikap positif ini mengembalikan Kelantan termasuk pendirian walak atau kebersamaan parti walaupun melalui liku ujian getir terutama peristiwa penghujung 1980-an dan 1990-an menguji kesetiaan Presiden dan Timbalan Presiden serta seluruh akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Katanya, kepemimpinan UMNO negeri kerap mengadakan pertemuan dengan anak Kelantan yang kini menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara, sebagai langkah mendekati pengundi muda.

Ahmad Jazlan berkata, UMNO kekal relevan untuk orang Melayu dari era pembangunan negara, pasca merdeka dan hingga sekarang, sekali gus menjadi penyatu perpaduan.

Katanya, Datuk Seri Najib Razak layak digelar ‘Bapa Walak’ atas kesungguhannya memperjuangkan kebersamaan ahli parti.

“Beliau adalah pemimpin sejati dan bersungguh membela rakyat Kelantan tatkala ramai mempertikaikan negeri pembangkang, mengagihkan hasil negara setiap kali pembentangan bajet, malah Kelantan tidak dipinggir dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11),” katanya.

Leave a Reply

Top