Anda di sini!
Utama > Ekonomi > Bersedia Hadapi Tahun 2018 Yang Lebih Mencabar

Bersedia Hadapi Tahun 2018 Yang Lebih Mencabar

KUALA LUMPUR, Tahun 2017 merupakan tahun yang lebih tenang bagi industri maritim selepas menempuh cabaran pada tahun lepas dengan prestasi yang kurang memberangsangkan.

Tahun ini menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang agak baik, sama ada di peringkat global atau negara, yang memberi prospek baik kepada perdagangan laut.

Dengan ekonomi dunia diunjurkan berkembang tiga peratus pada 2017, negara telah mengatasi unjuran Bank Dunia bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang mencatat pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus, tertinggi sejak 2014, dan Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan antara 5.5 dan 6.0 peratus.

Oleh itu, bagi industri ini memacu ke Tahun Baru dengan pengembangan terminal oleh pengendali pelabuhan tempatan dan menaik taraf kemudahan, ia nampaknya memberi prospek yang baik dengan jangkaan ini.

Bagaimanapun, perasaan adalah bercampur-campur.

Walaupun kebanyakan pengendali pelabuhan telah memulakan pelan pengembangan atau sekurang-kurangnya meneruskan dengan pelan pengembangan sedia ada dan pemilik kapal gembira untuk mengalu-alukan langkah pelepasan cukai bagi pengimportan kapal, pembina kapal bimbang mengenai hala tuju mereka pada masa akan datang.

Bagi pengendali pelabuhan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), anak syarikat MMC Group, ia akan menerima kren dermaga tertinggi di rantau ini, menjangka empat penghantaran pada bulan ini, menjadikan jumlah tempahan kepada lapan kren.

PTP telah melaksanakan beberapa projek pengubahsuaian dan pembelian peralatan berjumlah RM500 juta, membolehkan pelabuhan tersebut mewujudkan dermaga baharu dengan kapasiti penuh untuk memenuhi keperluan kapal mega.

Begitu juga Westports Holdings Bhd, yang kini memantau kerja-kerja pembinaan di Terminal Kontena 9 (CT9), susulan pengendali pelabuhan itu mendapat kelulusan kerajaan untuk meningkatkan lagi kemudahan terminal kontena itu dari CT10 hingga CT19.

Pengembangan ini sedang dilaksanakan walaupun terdapat berita bahawa pelabuhan Malaysia akan atau telah terjejas oleh peralihan persinggahan syarikat perkapalan global ke Singapura yang juga saingan dalam perniagaan maritim.

Sebuah akhbar harian di Singapura melaporkan aktiviti perniagaan di Pelabuhan Klang merosot disebabkan perjanjian pakatan baharu yang menyaksikan gabungan syarikat kapal, membawa kepada pembentukan tiga pakatan baharu berbanding empat sebelum ini.

Pada April 2017, lima syarikat perkapalan global utama memindahkan operasi dari Pelabuhan Klang ke Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif Westports, Ruben Emir Gnanalingam, bagaimanapun, memberi respons bahawa artikel tersebut hanya mengulas mengenai kemungkinan terlalu banyak kapasiti di rantau ini pada masa depan.

“Kami merancang dan membina (terminal) untuk jangka masa panjang seperti Port of Singapore Authority (PSA), dan artikel itu mungkin hanya disebabkan sifat patriotik wartawan tersebut,” katanya.

Ruben berkata pengembangan kapasiti Westports dari CT10-CT19 untuk menampung pertumbuhan jangka masa panjang dan terus menyokong keperluan perdagangan dan ekonomi Malaysia.

“Kita masih melihat pertumbuhan jangka panjang dalam perniagaan ini dan terus berkembang pada tahun ini walaupun kuantiti merosot. Malah, Singapura terus berkembang walaupun kuantiti rendah dalam tempoh dua tahun lalu,” katanya.

Beliau turut menegaskan PSA tidak pernah menukar pelannya bagi Tuas walaupun kuantiti merosot pada 2015 dan 2016.

“Ini kerana merancang dan membina pelabuhan adalah untuk jangka masa panjang dan bukan jangka pendek. Penurunan kuantiti yang sedang dialami disebabkan perubahan dari segi struktur susulan pembentukan pakatan baharu. Pertumbuhan organik jangka panjang masih ada untuk pengembangan pada masa depan,” katanya.

Bagaimanapun, dalam makluman kepada bursa saham pada September, Ruben berkata pertumbuhan kendalian kontena pelabuhan itu yang rendah disebabkan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam industri, yang memberi kesan kepada kuantiti kontena yang dikendalikan, terutamanya kotak penghantaran.

Mengenai penyusunan semula pakatan, Ruben berkata penggabungan telah dilaksanakan selama bertahun-tahun, rundingan telah berlangsung selama beberapa dekad dan syarikat perkapalan sentiasa mempunyai kelebihan sebagai pelanggan.

“Dinamik itu tidak pernah berubah,” katanya.

Sementara itu, industri maritim, berkuat kuasa 1 Jun, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak lagi terikat dengan dasar kabotaj yang dikenakan ke atas semua perkhidmatan perkapalan kargo antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Bagaimanapun, pemansuhan dasar kabotaj dilihat sebagai satu langkah ke belakang dan bertentangan dengan usaha Malaysia untuk membangunkan marin dagang nasional yang berdaya maju.

Penggiat industri menyuarakan bahawa langkah itu akan memberi kesan kepada industri maritim domestik walaupun dikatakan mematuhi pasaran bebas yang dinamik.

Pemilik kapal berkata industri mungkin terjejas dan tiada perniagaan bagi industri pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR) tempatan, subunit industri maritim.

Industri SBSR domestik telah pun dikecewakan dengan tempahan kapal baharu yang rendah oleh penggiat tempatan dan pada peringkat global, nilai perolehan kontrak kapal baharu telah jatuh kepada paras terendah dalam sejarah, iaitu 10 peratus.

Pengumuman baharu di bawah Bajet 2018 turut dilihat menjadikan keadaan lebih sukar dengan kerajaan kini memberi pelepasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi pengimportan kapal.

Ia telah diumumkan dalam Bajet bahawa import barangan pada harga yang tinggi seperti pesawat dan kapal oleh syarikat penerbangan dan syarikat perkapalan yang didaftarkan di Malaysia, diberikan pelepasan GST.

Bagi pemilik kapal, masalah mereka mendapat perhatian dengan Bajet mengumumkan peruntukan RM3 bilion di bawah Dana Pembangunan Pengangkutan, diberikan untuk membeli kapal serta membangunkan teknologi aeroangkasa dan kereta api.

Dana tersebut akan menjadikan pembelian kapal lebih murah dan membolehkan pengendali menambah saiz kumpulan kapal mereka.

Walaupun pemilik kapal menyambut baik dana tersebut, pembina kapal merayu dengan kerajaan untuk memansuhkan GST bagi perkhidmatan pembaikan, yang pada masa ini tidak dikecualikan.

“Pasaran kini tenang dan kami berharap kerajaan akan meneliti perkara itu berikutan ia dijangka mengurangkan aktiviti di limbungan kapal tempatan,” kata pembina kapal.

Bagi perkembangan lain dalam industri maritim, pelabuhan Pulau Carey bernilai RM39.1 bilion yang dirancang, di bawah MMC Corp, dijangka dibangunkan secara bersama dengan Adani Ports dan Special Economic Zone Limited dari India.

Bagaimanapun, pembangunan tersebut hanya akan dilaksanakan pada tahun 2020 walaupun laporan awal menyatakan ia akan bermula pada akhir tahun.

Bagi Pelan Induk Perkapalan Malaysia, yang dirangka bagi merancakkan industri perkapalan negara, akhirnya disokong pada Minggu Maritim Dunia Malaysia 2017 pada September.

Semua pihak berkepentingan terlibat sepenuhnya dalam pelan induk tersebut yang akan memacu Malaysia sebagai hab dalam industri maritim di peringkat serantau.

Secara keseluruhannya, penggiat terus optimis pada tahun depan susulan unjuran ekonomi yang menggalakkan dengan prestasi yang positif.

Bagi firma penyelidikan, Moody’s Investors Service mendedahkan penggabungan, sama ada melalui pakatan atau M&A, akan terus berkembang dalam industri perkapalan kontena hingga 2018 berikutan syarikat cuba untuk meningkatkan bahagian pasaran, meningkatkan kecekapan, dan mengatasi persaingan yang semakin sengit dan lebihan bekalan yang berterusan.

Moody’s menjangka syarikat perkapalan akan terus mencari pakatan dan perjanjian pembelian slot, dan bagi mereka yang tidak berbuat demikian, akan kurang kompetitif susulan mereka dijangka kurang mencapai kecekapan kos yang diperlukan untuk bersaing dengan rakan dalam pakatan.

Penggabungan melalui pembelian slot dan pakatan membantu meningkatkan kecekapan tanpa memerlukan syarikat mengambil hutang tambahan.

Strategi ini membolehkan syarikat perkapalan menggabungkan sumber untuk meningkatkan kecekapan dan jangkauan pelanggan tanpa impak kepada lembaran imbangan dan risiko urus niaga.

Fitch Ratings bersetuju dengan pandangan ini, menunjukkan prospek industri perkapalan terus negatif dan tidak menjangka sebarang peningkatan yang ketara dalam asas pasaran pada 2018 disebabkan lebihan kapasiti yang berlarutan.

Kadar tambang muatan perkapalan kontena meningkat pada tahun ini tetapi lebihan kapasiti menjadikan pemulihan lemah berikutan peningkatan kadar sebelum ini terbukti bersifat sementara.

“Kami menjangka pertumbuhan bekalan melebihi 5.5 peratus pada 2018, mengatasi peningkatan yang dijangka lebih 4.5 peratus dalam pertumbuhan kuantiti pengangkutan kontena. Pemulihan dari segi kadar yang mampan memerlukan disiplin kapasiti yang konsisten dan berterusan dalam industri yang boleh dipacu oleh penggabungan dalam sektor tersebut dalam jangka masa sederhana,” kata Fitch.

Leave a Reply

Top