Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Bersedia Hadapi Serangan Luar Jangka – TPM

Bersedia Hadapi Serangan Luar Jangka – TPM

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu seluruh anggota UMNO bersedia dengan serangan luar jangka saat akhir daripada pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana beliau tidak mahu parti ‘terperangkap’ sekali lagi seperti yang berlaku pada PRU sebelum ini yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) terpaksa menjawab isu bekalan elektrik terputus dan membawa masuk warga Bangladesh sebagai pengundi.

“Mereka (pembangkang) dalam kempen-kempen berkata BN yakin akan kalah dan akan memutuskan bekalan elektrik di seluruh pusat pengiraan undi supaya sewaktu api dipadam, kertas undi ditukar, penipuan dilakukan untuk menentukan kemenangan BN…kita tak boleh jawab.

“Kita terperangkap untuk menjawab kerana di saat akhir isu ini telah dilontarkan kepada masyarakat…dan kita tidak sangka dan tidak jangka kerana tiada ‘pre-emptive measures’ dan kaedah untuk menangani isu itu pada saat akhir,” katanya di sini hari ini.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden itu berkata demikian semasa merasmikan Konvensyen Penerangan dan Media 2.0: Istiqamah dalam Perjuangan yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017, yang bermula hari ini.

Ahmad Zahid berkata isu berkenaan akan dapat diatasi sekiranya jentera penerangan UMNO lebih agresif menangkis tohmahan menggunakan kaedah konvensional seperti bersemuka dan dalam masa sama turut memanfaatkan platform media sosial untuk memberi penjelasan.

Katanya penggunaan media sosial adalah lebih efisien kerana ia mencakupi semua kelompok masyarakat yang ingin didekati selain boleh diakses di mana sahaja.

Hanya dengan telefon bimbit, kita boleh merakamkan ceramah dan penerangan secara dalam talian supaya boleh ditonton serta-merta oleh rakyat, katanya.

Beliau turut menggesa anggota UMNO melaksanakan strategi ‘Get Out The Voters’ (GOTV) ketika hari pengundian bagi memastikan usaha yang dilaksanakan jentera parti selama ini membuahkan hasil.

Ahmad Zahid berkata beliau berserta seorang lagi naib presiden parti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merancang untuk mengadakan kursus sehari berkaitan kaedah GOTV di seluruh negara selepas perhimpunan agung ini.

Leave a Reply

Top