Anda di sini!
Utama > Belia > Belia Dipelawa Sertai Cabaran Inovator Muda Sime Darby

Belia Dipelawa Sertai Cabaran Inovator Muda Sime Darby

mh online

Generasi muda Malaysia digalakkan menyertai Cabaran Inovator Muda Sime Darby 2016 untuk menjadi sebahagian daripada perubahan positif yang mereka harapkan akan dapat membentuk dunia yang lebih sejahtera.

Program ini adalah sebahagian daripada usaha Sime Darby Berhad untuk melahirkan modal insan negara untuk masa akan datang dengan memberi semangat kepada para belia mencipta penyelesaian berdaya maju untuk menjadikan Malaysia dan dunia sebuah tempat yang lebih sejahtera.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata: “Kami percaya, belia negara ini merupakan kunci untuk masa depan yang lebih sejahtera dan sebab itulah kami ingin memperkasakan diri mereka dengan asas-asas inovasi, sambil mencabar kreativiti mereka”.

Untuk cabaran pada tahun ini, belia dipelawa mengatasi perkara berkaitan kemiskinan, satu daripada Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Dalam pertandingan melibatkan empat fasa pada tahun ini, peserta dikehendaki mengemukakan idea untuk mengatasi isu tersebut daripada perspektif rakyat, planet atau kemakmuran.

“Dalam keadaan ekonomi global yang ada sekarang, peningkatan kos sara hidup merupakan perkara yang menjadi kebimbangan paling utama. Oleh itu, cabaran pada tahun ini memberi fokus terhadap usaha mengatasi kemiskinan dan apa yang boleh kita lakukan untuk memperbaiki keadaan. Kami percaya, idea yang dilahirkan oleh para belia kita akan dapat membawa perubahan positif,” kata Mohd Bakke.

Semua belia yang tinggal di Malaysia berusia 13 hingga 16 tahun digalakkan memohon menyertai cabaran ini dan tempoh untuk mengemukakan idea masing-masing ialah dari 3 hingga 21 Feb 2016. Penyertaan adalah percuma.

Bagi dua fasa pertama, peserta dikehendaki mengemukakan video, esei atau lukisan, dan 200 belia terbaik akan disenarai pendekkan berdasarkan idea yang dikemukakan, manakala bagi fasa ketiga, peserta yang disenarai pendekkan dari seluruh negara akan dibahagikan kepada empat bengkel wilayah, yang akan diadakan pada Mac.

Setiap pasukan akan dibimbing mentor dan berpeluang menyertai pertandingan peringkat wilayah yang akan diadakan pada akhir Mei.

Sementara itu, kesemua empat pasukan yang menang akan bersaing untuk memenangi gelaran Juara Inovator Kebangsaan, yang menawarkan hadiah RM10,000 dan hadiah istimewa lain, termasuk sebuah MacBook bagi setiap peserta daripada pasukan yang menang.

Pasukan yang memenangi tempat kedua dan ketiga akan menerima hadiah yang tidak kurang menariknya, termasuk wang dan iPad. Mereka yang berminat menyertai cabaran ini boleh membuat permohonan melalui www.sdyounginnovators.com.

Leave a Reply

Top