Anda di sini!
Utama > Terkini > BELIA ASEAN DIGESA GUNA KAEDAH AMAN SELESAI PERBEZAAN PENDAPAT

BELIA ASEAN DIGESA GUNA KAEDAH AMAN SELESAI PERBEZAAN PENDAPAT

mh online

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa golongan belia negara anggota ASEAN untuk menggunakan kaedah aman dalam menyelesaikan perbezaan pendapat dan pertikaian dalam kalangan mereka.

Beliau berkata penggunaan kaedah aman dalam menyelesaikan perbezaan pendapat kini kian penting tatkala perkumpulan serantau itu semakin hampir untuk merealisasikan matlamat mewujudkan Komuniti ASEAN akhir tahun ini.

Semasa membuat gesaan itu pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEAN+ di ibu negara Malaysia ini pada Rabu, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata golongan belia ASEAN perlu menghormati kepalbagaian kebudayaan di rantau itu.

“Kita perlu menghormati usaha nenek moyang kita, dan jaminan keamanan di rantau ini akan diteruskan oleh pemimpin-pemimpin muda. Inilah harapan setiap pemimpin muda di rantau ini dan di seluruh dunia,” katanya.

Dalam perutusan dalam buku program AYLS, Ahmad Zahid berkata beliau yakin golongan belia di negara ASEAN akan menjadi kunci kepada kemajuan rantau ini untuk menjadi kuasa ekonomi.

Ahamd Zahid mengambil perhatian bahawa kalangan pemimpin sedia ada berusaha keras untuk mengintegrasi dan menyelaraskan pembabitan pemimpin muda dalam membangunkan cara berfikir serantau yang progresif dan inklusif bagi komuniti ASEAN, iaitu mampan dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar.

“Selain berkongsi isu-isu semasa yang menyelubungi mereka, golongan belia juga digalakkan untuk menyediakan penyelesaian efektif bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat ASEAN.

“Ia juga perlu menekankan pentingnya integrasi serantau dan kesepaduan dan pada masa sama menghormati perbezaan dan kepelbagaian,” katanya.

AYLS 2015 selama tiga hari bermula hari ini, menyediakan platform bagi peserta daripada latar belakang berbeza untuk berinteraksi, berbincang dan mengupas pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi golongan belia di rantau itu.

ASEAN dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top