Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu bekas anggota Puteri UMNO terus menyumbang bakti kepada rakyat, walaupun tidak lagi berada atau memegang sebarang jawatan dalam pergerakan itu.

Naib Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas timbalan presiden itu berkata, mereka tidak seharusnya rasa terpinggir, sebaliknya perlu terus menggunakan pengalaman yang diperoleh untuk terus membantu masyarakat.

“Saya yakin kepopularitian (bekas anggota) masih dapat dirasakan (oleh masyarakat) di bawah sana.(Jadi) bangkitlah, bangun semula, ketepikan rasa kecil hati, keterpinggiran, dan ketersampingan.

“Kerana jiwa kita tetap utuh, perkasa, darah kita tetap darah kental UMNO, di jiwa kita tetap kekal membara semangat UMNO,” katanya ketika merasmikan Majlis Pink Reunion Hi-Tea 2016 anjuran Pergerakan Puteri UMNO, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata perkara itu juga akan memudahkan Presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) membuat pertimbangan dalam memilih mereka sebagai calon pilihan raya umum akan datang.

Turut hadir Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin, serta bekas-bekas ketua pergerakan sayap itu iaitu Datuk Rosnah Abdul Majid Shirlin dan Datuk Seri Dr Azalina Othman Said.

Ahmad Zahid turut menggesa anggota Puteri untuk tidak meminggirkan mereka yang telah ‘menyeberang’ ke parti lawan, sebaliknya menggunakan pendekatan bijaksana untuk menarik mereka semula ke dalam parti.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau amat bersetuju dengan cadangan Mas Ermieyati yang mahu menubuhkan sebuah koperasi bagi menaungi bekas anggota Puteri UMNO.

Beliau berkata cadangan berkenaan amat sesuai sebagai tapak bagi bekas anggota sayap parti itu untuk terus menyumbang kepada perjuangan parti.

“Insya-Allah jika tertubuh koperasi, jika saya masih ada kesempatan, maka kita juga akan bantu dengan jumlah sepatutnya sebagai modal awal koperasi.

“Bukan hanya pulangan pelaburan yang harus kita harapkan, tetapi kebersamaan kita dalam setiap mesyuarat agung itu menjadi pentas platform kita berkumpul,” katanya.

Dalam merealisasikan penubuhan koperasi itu, Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya setiap bekas anggota sayap itu dijadikan pemegang saham koperasi itu secara automatik.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *