Barisan bekas pemain Selangor tampil merayu Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyelamatkan pasukan negeri itu dengan memberi peruntukan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017.

Nazzab Hidzan berkata, Mohamed Azmin perlu beri komitmen serta kerjasama kepada Exco FAS menentukan hala tuju The Red Giants.

“Kita bukan mahu cari siapa salah, tapi sebagai pemain pernah mencipta nama bersama pasukan Selangor, kami harap kemelut ini selesai segera.

“Pemain dalam keadaan terumbang-ambing dan ia memberi kesan tidak baik kepada bola sepak Selangor. Jadi sebagai presiden dilantik sebulat suara, dia perlu tampil berunding dan berjumpa ahli gabungan, bukan menolak dan membisu,” katanya pada sidang media di Shah Alam, semalam.

Kelmarin, media melaporkan kemelut bola sepak Selangor semakin meruncing apabila persatuan bola sepak negeri itu ‘diabaikan’ kerajaan negeri.

Malah FAS bakal berdepan masalah untuk mendapatkan dana bagi menghadapi musim baharu apabila Mohamed Azmin dilapor tidak akan memberi peruntukan pada musim depan.

Sikap berdiam diri Menteri Besar Selangor itu juga, membuatkan FAS terpaksa mengatur persiapan bersendirian mencari dana.

Sebelum ini, beberapa mesyuarat FAS diadakan tetapi Mohamed Azmin tidak memberi komitmen untuk menghadirkan diri.

Nazzab menyarankan Mohamed Azmin segera duduk semeja dan menyelesaikan segala perselisihan demi bola sepak Selangor.

“Kita tahu dia ada tugas besar sebagai menteri besar dan masa pun terhad, tapi kita perlukan budi bicara dia sebagai presiden,

“Tolong jangan anak tirikan pasukan Selangor. Sebagai pemimpin yang mempunyai karakter baik dalam politik, saya harap Azmin melakukan perkara yang sama selamatkan pasukan Selangor.

“Kami dan seluruh rakyat Selangor sangat sayangkan bola sepak dan prestasi pasukan Selangor telah mencipta pelbagai sejarah,” jelasnya lagi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *