PETALING JAYA, Seorang bekas peguam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. atas tuduhan melakukan pecah amanah berhubung hasil penjualan sebuah rumah bernilai RM700,000, dua tahun lalu.

Azlan Abdullah, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Azlan didakwa sebagai peguam dalam Tetuan Azlan & Partners yang diamanahkan wang pertaruhan hasil penjualan sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Sunway, di sini, melakukan pecah amanah berhubung harta yang bernilai RM700,000.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tetuan Azlan & Partners, 2C, 3D, 3C dan 4D, Jalan USJ 10/1J, UEP Subang Jaya, di sini pada 6 Februari 2015 dan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim, menawarkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin, terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Zamri Idrus dalam rayuannya, memohon dikenakan jaminan rendah dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap kerana sudah diisytihar muflis.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin, berserta syarat tambahan pasport perlu diserahkan ke mahkamah dan melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *