Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Bekas Guru Antara Terlibat Aktiviti Pengganas

Bekas Guru Antara Terlibat Aktiviti Pengganas

KUALA LUMPUR, Seorang bekas guru di sebuah sekolah rendah di Kuching, Sarawak antara 20 individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas menerusi operasi yang dijalankan dari 30 Nov hingga 15 Dis lalu di Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata lelaki berusia 46 tahun itu ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada 1 Dis lepas.

“Suspek adalah ahli kumpulan Whatsapp ‘The Rise Of Jundullah’ yang terlibat dalam rancangan serangan ke atas ‘The Better Beer Festival 2017’.

Suspek juga turut merancang untuk menyusup masuk ke selatan Filipina bagi menyertai kumpulan pengganas yang beroperasi di situ,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata sehari sebelum itu, (30 Nov) polis menahan seorang lelaki warga Indonesia di Pontian, Johor yang dipercayai terlibat dalam insiden pengeboman di Bandung pada Julai lepas sebelum menyusup masuk ke Malaysia bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa Indonesia.

Katanya suspek berusia 24 tahun itu merupakan seorang pemimpin kanan kumpulan Jamaah Ansharut Daulah yang merancang mengumpul dana di Malaysia sebelum berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan Daesh.

Mohamad Fuzi berkata tangkapan seterusnya dibuat pada 4 Dis lepas di Sandakan, Sabah dengan kerjasama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) melibatkan empat lelaki warga Indonesia berusia 31 hingga 38 tahun.

Beliau berkata kesemua suspek memasuki Malaysia secara haram menerusi Tarakan dan Nunukan, Indonesia serta merancang untuk menyusup masuk ke selatan Filipina bagi menyertai kumpulan pengganas di situ.

Katanya pada 6 Dis, seorang lelaki warga Filipina berusia 50 tahun ditahan di ibu negara kerana dipercayai mempunyai hubungan persaudaraan dengan pemimpin tertinggi kumpulan pengganas Abu Sayyaf Group (ASG).

Suspek disyaki merekrut warga Filipina di sekitar Kepong di sini untuk menyertai kumpulan ASG di selatan Filipina.

Pada 10 Dis lalu, polis menahan enam lelaki tempatan dan lima lelaki Filipina berusia 16 hingga 47 tahun di Sandakan, Sabah kerana dipercayai merancang menyertai kumpulan pengganas di selatan Filipina.

Katanya pada hari sama, polis menahan seorang lelaki warga Filipina di Masai, Johor kerana disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki pihak berkuasa Filipina berikutan disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan di negara berkenaan.

Tangkapan terakhir katanya melibatkan seorang lelaki berusia 31 tahun dari sebuah negara di utara Afrika di KLIA pada 15 Dis lepas kerana dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh di Iraq dan Syria.

“Kesemua suspek yang ditangkap disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.

Leave a Reply

Top