Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > BBCC Bakal Jana Kesan Berganda Kepada Ekonomi

BBCC Bakal Jana Kesan Berganda Kepada Ekonomi

mh online

Projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) bakal menjana kesan berganda yang besar ke atas ekonomi dan menjadi penarik bagi pelaburan langsung asing (FDI), kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata projek BBCC penting dalam pelbagai aspek kerana ia merupakan satu daripada projek utama di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan untuk membangunkan lagi Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi.

“Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM8.7 bilion, BBCC bakal menjana kesan berganda yang besar ke atas ekonomi dalam bentuk pewujudan pekerjaan, pelaburan, daya tarikan pelancongan, aktiviti pembinaan dan perniagaan runcit,” katanya sebelum merasmikan galeri jualan BBCC, di sini, Jumaat.

Johari berkata projek itu akan menjadi satu pencapaian utama dan memberi sumbangan positif ke arah mengukuhkan lagi status Kuala Lumpur sebagai bandar global dan bakal menjadi penarik FDI.

“Malahan pada peringkat awal pembangunan ini, suka cita ingin saya katakan bahawa BBCC telahpun menarik minat serius daripada dua jenama global iaitu Mitsui Fudosan Japan dan Zepp Hall, unit Sony Music, menjadi sebahagian daripada projek tersebut,” katanya.

Mitsui Fudosan adalah kumpulan hartanah pelbagai terbesar di Jepun manakala Sony merupakan peneraju global dalam industri hiburan.

“Dalam keadaan iklim ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan dan komuniti perniagaan perlu bekerja keras untuk menarik FDI ke dalam negara,” katanya.

BBCC akan menjadi pembawa perubahan dan mencipta sejarah sebagai pembangunan transformasi yang akan memberi nafas baharu kepada kawasan sekitar dan merangsang pertumbuhan masa depan Kuala Lumpur, katanya.

“BBCC akan memainkan peranan utama untuk mengubah tapak lama menjadi hab tengah bandar bersepadu yang moden dengan tarikan antarabangsa.

“Saya menggesa lebih ramai pemaju mencontohi usaha BBCC dan menerajui lebih banyak pembangunan yang mendapat permintaan yang mampu bukan sahaja merancakkan kehidupan di tengah bandar dalam kalangan warga tempatan tetapi juga menarik penduduk dunia dan menaikkan taraf Kuala Lumpur ke peringkat teratas dalam kalangan bandar raya terbaik dunia,” katanya.

Fasa Pertama projek BBCC, dengan gabungan nilai pembangunan kasar RM4.0 bilion, bakal dilancarkan pada suku kedua 2016, demikian menurut syarikat konsortium, BBCC Development Sdn Bhd (BBCCD).

BBCCD ditubuhkan untuk membangunkan semula kawasan seluas 7.85 hektar bekas Penjara Pudu. Pemegang sahamnya ialah UDA Holdings Bhd dan Eco World, dengan pegangan 40 peratus setiap satu dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memiliki baki 20 peratus pegangan.

Leave a Reply

Top