Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Batalkan Permit Syarikat Ambil Pekerja Asing Tanpa Permit

Batalkan Permit Syarikat Ambil Pekerja Asing Tanpa Permit

Syarikat kawalan keselamatan yang didapati mengambil pekerja warga asing tanpa dokumen sah, memiliki dokumen palsu atau mempunyai pembabitan dalam unsur jenayah akan dibatalkan lesen tanpa ada amaran akhir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan itu untuk memastikan tiada elemen pengganas yang boleh menggugat keselamatan negara.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengeluarkan permit syarikat kawalan persendirian sudah memperketatkan prosedur kawalan pengambilan pengawal keselamatan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata polis juga melakukan pemeriksaan teliti pada setiap pengawal keselamatan bagi mengelak kes di Sabah tidak berlaku di tempat lain.

“Syarikat keselamatan yang melanggar peraturan dan syarat pengambilan pengawal keselamatan akan dibatalkan lesen tanpa amaran akhir,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) pada sesi khas pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Manan ingin tahu penahanan tujuh pengikut Abu Sayyaf yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan dikatakan ada elemen Daesh, baru-baru ini.

Kerajaan diminta menangani isu itu kerana ada kelemahan dari segi kawalan keselamatan di sempadan negara yang mudah dibolosi.

Tujuh lelaki Filipina yang dipercayai ahli kumpulan Abu Sayyaf ditahan dalam operasi khas Bahagian Counter Terrorisme, pada 14 September lalu, di sini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan pemilik laman web serta akaun media sosial terbabit Daesh.

Katanya, mereka yang terbabit aktiviti Daesh atau ada elemen pengganas akan dikesan setiap masa untuk tindakan segera.

Beliau berkata, kerajaan juga mengarahkan semua agensi penguatkuasaan, terutama yang bersempadan dengan Filipina meningkatkan kawalan keselamatan dan mematahkan kumpulan pengganas yang menyusup masuk ke negara ini.

“Kita perlu berwaspada, mungkin berlaku peningkatan kumpulan pengganas menyusup masuk ke negara ini, terutama di Sabah, berikutan tindakan pihak pemerintah Filipina terhadap kumpulan pengganas,” katanya.

Leave a Reply

Top