Semangat baharu buat jaguh nombor satu badminton negara biarpun sudah berada di penghujung kariernya.

Ternyata kepulangan Datuk Misbun Sidek ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysian (BAM) menceriakan Datuk Lee Chong Wei dalam misi memburu kejuaraan pertama menjelang Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos ini.

“Bapa sudah kembali,” ujarnya spontan selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada Isnin.

Chong Wei, 34, yang kelihatan gembira mengakui sebelum ini beliau telah banyak kali memujuk Misbun untuk kembali melatih skuad negara.

“Saya banyak kali jumpa Misbun dan sebelum itu saya berbincang dahulu dengan presiden (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria) mengenai perkata ini.

“Ketika berjumpanya kali pertama dan berbincang mengenai perkara ini, beliau tidak cakap ‘yes’, tetapi suruh saya fikir dulu.

“Saya pujuknya dan minta beliau lupakan apa yang terjadi sebelum ini. Saya tahu kenapa beliau berhenti.

“Tetapi saya yakinkan Misbun bahawa sekarang sudah ada presiden serta pasukan baharu. Dan kita boleh bekerjasama dengan baik,” ujar pemenang pingat Perak Sukan Olimpik Rio 2016 ini.

Menurut Chong Wei, kehadiran Misbun dan Hendrawan pastinya akan banyak membantu dalam persiapan ke aksi dunia.

“Dua-dua ada dengan saya sekarang, tetapi apa yang lebih penting diri pemain itu sendiri. Saya akan cuba yang terbaik dan memberi fokus sepenuh pada persiapan ini.

“Bagi saya tekanan sudah tentu ada kerana kejohanan dunia ini amat berbeza dengan Sukan Olimpik. Di Glasgow nanti, saya perlu berdepan dengan empat pemain China.

“Bukan senang mahu lawan mereka. Jadi saya hanya akan fokus aksi (kejohanan) dunia sahaja.

“Selain itu, Misbun ada beritahu saya bahawa minggu ini beliau hanya akan lihat sesi latihan dahulu dan akan mulakan tugasnya minggu depan.

“Saya harap kita akan bangkit lagi,” tambahnya.

Sebagai rekod, Chong Wei tidak pernah merangkul gelaran Kejuaraan Dunia, begitu juga dengan pemain-pemain kebangsaan yang lain.Kali terakhir pemain kelahiran Pulau Pinang mara ke final pada tahun 2014.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *