Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Banyak Syarikat Akan Beralih Ke Negeri Sembilan

Banyak Syarikat Akan Beralih Ke Negeri Sembilan

NILAI, Semakin banyak syarikat luar yang berminat untuk melabur dan membesarkan operasi mereka di Negeri Sembilan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata kerajaan negeri sedang mempertimbangkan beberapa permohonan dari syarikat luar yang mahu menjalankan operasi di negeri ini terutamanya dari Singapura dan Selangor.

“Di Selangor, Shah Alam dan Subang Jaya, semua nak pindah operasi ke Negeri Sembilan kerana tidak boleh lagi membesarkan kilang mereka di sana kerana tanah sudah tiada lagi di sana.

“Kilang mereka yang dulunya lima ekar nak ditambah operasi lain, tiada lagi. Begitu juga syarikat industri di Singapura, di mana mereka memohon supaya di berikan keutamaan” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kasih Pemimpim Bersama Rakyat anjuran Kelab Komuniti Kami Penduduk Nilai di Tapak Pasar Malam Taman Semarak, di sini, pada ahad.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Datuk Abu Ubaidah Redza.

Mohamad berkata pelabur yang beroperasi di sini dan berhasrat mengajikan pekerja asing disyaratkan menyediakan kampus industri di mana para pekerja asing akan tinggal di dalam kawasan indusri sahaja.

“Mereka (syarikat) boleh gajikan pekerja asing tetapi dengan syarat mesti buat tempat kediaman di dalam kawasan industri dan mereka perlu bertanggungjawab ke atas pekerja.

“Dengan itu, tiada lah kita lihat pekerja asing berkeliaran dalam kawasan komuniti kita,” katanya.

Leave a Reply

Top