Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Bantuan Pekebun Kecil Dibuka 31 Januari

Bantuan Pekebun Kecil Dibuka 31 Januari

KUALA LUMPUR, Pekebun kecil dan penoreh getah yang belum memohon Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) perlu mengemukakan permohonan selewat-lewatnya 31 Januari ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata bantuan RM200 sebulan selama tiga bulan mulai November lalu, sehingga kini memanfaatkan 440,000 kumpulan sasar di seluruh negara.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2017 mengumumkan peruntukan sebanyak RM261 juta untuk BMT.

“Bantuan RM200 itu dibayar masing-masing pada November dan Disember tahun lalu serta bulan ini, yang memanfaatkan seramai 440,000 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara.

“Proses pembayaran BMT pertama dilaksanakan mulai 1 November tahun lalu memanfaatkan 275,605 pekebun kecil dan penoreh getah, manakala proses pembayaran BMT kedua dibuat mulai 1 Disember sehingga 29 Disember tahun lalu, yang memanfaatkan 283,258 orang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Objektif pemberian bantuan itu adalah bagi memastikan kebajikan pekebun kecil dan penoreh getah terbela ketika musim tengkujuh mulai November lalu.

Siew Keong berkata, Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan agensi berkaitan iaitu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), FELCRA Berhad, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Jabatan Pertanian Sarawak, mendaftarkan pekebun kecil dan penoreh getah dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, permohonan juga boleh dibuat secara atas talian menerusi http://bmt.lgm.gov.my/Home atau menghantar borang BMT di mana-mana Pejabat LGM wilayah dan negeri.

Leave a Reply

Top