KUALA LUMPUR, CUEPACS berpendapat rayuannya pada kerajaan untuk memberikan bantuan khas minimum RM1,000 kepada penjawat awam sempena sambutan Aidilfitri tahun ini adalah wajar dan relevan dengan keadaan semasa ekonomi negara.

Presiden, Datuk Azih Muda, berkata bantuan khas berjumlah RM500 yang diberikan kerajaan sebelum ini dianggap rendah dan tidak banyak membantu kira-kira 1.6 juta penjawat awam untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Katanya, CUEPACS turut berharap kerajaan dapat memberikan bantuan khas itu lebih awal dan bukannya diberikan pada saat hampir hari raya supaya memberi kelegaan kepada penjawat awam untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Kami merayu kepada kerajaan untuk mempertimbangkan bantuan khas Hari Raya Aidilfitri pada kadar minimum RM1,000 kerana ia difikirkan wajar berbanding RM500 sebelum ini.

“CUEPACS menyedari bantuan RM500 yang diberikan sebelum ini tidak mencukupi untuk membantu penjawat awam yang majoritinya adalah kelompok M40 dan B40 membuat persiapan menyambut hari raya.

“Kita berharap agar kerajaan mempertimbangkan rayuan CUEPACS ini kerana ia dianggap nilai yang realistik dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini,” katanya.

Tahun lalu, kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam dan RM250 kepada 743,000 pesara kerajaan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Azih berkata, CUEPACS turut merayu kerajaan turut menaikkan bantuan khas hari raya untuk pesara pada kadar RM600.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *