KUALA LUMPUR, Bajet 2018 memberi peluang luar biasa kepada pelbagai golongan termasuk wanita untuk mencapai kejayaan terutama dalam bidang ekonomi dan keusahawanan.

Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Iktisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata pengumuman 2018 sebagai tahun memperkasa wanita membuktikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Barisan Nasional (BN) berpegang teguh dengan komitmen untuk menyediakan ekosistem kehidupan dan pekerjaan yang mesra serta ideal untuk wanita Malaysia.

“Dalam memastikan daya tahan ekonomi negara terus kukuh serta pada masa yang sama keperluan rakyat didahulukan, Bajet 2018 yang dibentangkan YAB Perdana Menteri hari ini ternyata melindungi dan memahami kehendak rakyat serta mengekalkan daya saing Malaysia dalam bidang pelaburan domestik dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Shahrizat yang juga Pengerusi Akademi Inovasi Wanita (Akademi MyWIN), merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Najib kerana mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi program latihan dan keusahawanan antaranya ‘PEAK Entrepreneur Programme’ di bawah Akademi MyWIN.

“Inisiatif ini pastinya akan membakar semangat Akademi MyWIN menjadi sebuah akademi unggul dalam memperkasa pemimpin usahawan wanita bagi menjana nilai ekonomi dan sosial negara berlandaskan inovasi,” katanya.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *