OLEH : SHAHBUDIN HAJI EMBUN

Manusia mati meninggalkan nama . Ada juga yang meninggal dunia setelah sempat mencurahkan segala jasa bakti semasa hayatnya, dan antara insan yang saya kenali dan juga merupakan sahabat yang telah banyak berjasa kepada masyarakat ialah Allahyarham Datuk Bahrim Razak, iaitu bekas Yang Di Pertua Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan.

Semasa hayatnya, Bahrim tidak pernah jemu memperjuangkan nasib para penjaja dan peniaga kecil Melayu di Wilayah Persekutuan. Biarpun Kuala Lumpur terkenal sebagai sebuah kota korporat dan perdagangan yang utama, namun bagi Bahrim, golongan peniaga kecil juga merupakan nadi yang menggerak dan merancakkan kegiatan ekonomi di Kuala Lumpur. Golongan seperti tidak boleh dilupakan dan hak-hak mereka sebagai peniaga perlu dijaga dan diperjuangkan.

Negara Perlukan Seorang Wira Seperti Datuk Bahrim Razak

Bahrim selalu menggesa pihak yang bertanggungjawab melakukan pelbagai usaha untuk membantu golongan penjaja dan peniaga ini, tidak kira sama ada di Kuala Lumpur atau juga di serata Malaysia. Antaranya Bahrim pernah menyatakan sokongan usaha serta rancangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang mahu menaik taraf gerai-gerai penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.

Bahkan Bahrim juga pernah menyatakan yang pihaknya sedia bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan penambahbaikan gerai-gerai di Kuala Lumpur dijadikan bertaraf antarabangsa bagi memikat para pelancong yang datang ke ibu negara Malaysia ini.

Inilah antara usaha yang dari dahulu telah diperjuangkan dan beliau yang juga tidak pernah jemu mendengar segala rintihan dan masalah yang dialami oleh pihak penjaja. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan yang Bahrim lebih banyak menghabiskan masa melayani dan membantu para penjaja jika dibandingan dengan masa yang diluangkan untuk keluarganya sendiri. Inilah yang dinamakan pengorbanan.

Selain itu Bahrim juga sering menasihatkan kepada penjaja supaya bersama-sama memainkan peranan untuk meningkatkan taraf perniagaan mereka dan jangan hanya bergantung seratus peratus kepada pihak kerajaan.

Antara cadangan yang selalu diutarakan kepada para peniaga ialah supaya mengutamakan aspek penjagaan kebersihan, pengindahan kawasan berniaga, memastikan keselesaan kepada para pelanggan,mengutamakan penyediaan makanan dan mengambil berat akan pemakaian pekerja supaya sentiasa kelihatan bersih dan rapi.

Bagi Bahrim, usaha seperti ini adalah penting bagi mengubah persepsi masyarakat yang sentiasa mengaitkan gerai makanan dengan aspek kekotoran. Ini merupakan satu cabaran bagi pihak penjaja dan peniaga untuk membuktikan yang gerai makanan yang diusahakan tidak menghadapi masalah kekotoran. Bahrim mahukan warga kuala Lumpurr serta para pelancong tidak kiralah yang datang dari dalam negeri mahupun dari luar negara terus memberi pengiktirafan bahawa gerai-gerai di Kuala Lumpur bukan sahaja mampu menawarkan makanan yang sedap tetapi juga terkenal dengan aspek kebersihan.

Sebagaimana yang dinyatakan, perjuangan Bahrim tidak kira masa dan saya sendiri dapat menyaksikan bagaimana beliau begitu komited cuba menyelesaikan pelbagai masalah para peniaga kecil di bandaraya ini. Walaupun keadaan kesihatannya mula menghadapi masalah yang serius, beliau tetap cuba menghadiri pelbagai mesyuarat yang membabitkan para penjaja di Kuala Lumpur. Ternyata Bahrim lebih mengutamakan perjuangannya tanpa memberi keutamaan kepada dirinya sendiri.

Itulah sebabnya pengaruh beliau tidak boleh diperkecilkan. Bahkan beberapa tahun yang lampau, beliau pernah mengumpul 200 ribu para peniaga di Chow Kit bagi menyatakan sokongan kepada pucuk pimpinan yang sejak daripada dahulu telah bersama sama membangunkan taraf para penjaja dan peniaga di Kuala Lumpur.

Perjuangan Bahrim tidak berharapkan pada ganjaran dan pengiktirafan. Beliau begitu ikhlas membantu mereka yang memerlukan. Cuma saya agak terkilan apabila beliau sendiri tidak pernah meminta bantuan ketika dalam kesusahan.

Saya difahamkan yang beliau telah 16 kali terpaksa dihalau keluar rumah kerana menghadapi masalah membayar sewa rumah. Mungkin tidak ramai yang tahu akan penderitaan yang dialami ini kerana Bahrim bukanlah seorang insan yang mengemiskan simpati.Bahkan tidak ramai para sahabat yang tahu beliau telah terlantar di hospital dan semasa pengebumiannya hanya mereka yang rapat dengan beliau sahaja yang datang untuk memberikan penghormatan terakhir.

Saya sempat bertemu beliau dan dalam keadaan yang sangat tenat, dia sempat memberikan satu surat sebagai amanah kepada saya untuk diserahkan pada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tentang isu yang berkaitan dengan penjaja kecil . Jelaslah perjuangan beliau memimpin dan menjaga hal ehwal para penjaja dan peniaga kecil di Kuala Lumpur selama 30 tahun tidak ada hadnya, bahkan sehingga ke akhir akhir hayat beliau .

Negara kita memerlukan seorang wira seperti Bahrim, biarpun hanya sebagai wira yang tidak didendang.

Shahbudin Embun
Pengerusi Biro Politik
Majlis Perundingan Melayu Malaysia

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *