LUNDU, Bahang kempen pilihan raya kecil (PRK) Tanjong Datu yang memasuki hari keenam hari ini, sudah mula dirasai.

Kerja pemasangan poster, kain rentang serta bendera calon Barisan Nasional (BN) daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Jamilah Anu diperhebatkan di sekitar pasar Lundu dan bandar Sematan serta sekitar kampung.

Bilangan siri berkempen oleh menteri juga bertambah hari ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah kepada Sarjan Rano di Kampung Gerunggang, di sini.

Selepas itu beliau akan menghadiri Program Jiwa Murni di Sekolah Kebangsaan (SK) Bumiputera, Lundu sementara Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof akan menghadiri Program Kampung Angkat Armada Pemuda BN di Bilik Operasi PBB, di sini.

Pelancaran manifesto BN PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu pula akan disempurnakan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg di Dewan Masyarakat Lundu pada 4 petang ini.

Sebelum itu, pada 2 petang, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengadakan perjumpaan dengan ketua kaum di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Lundu di sini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Sarawak Datuk Fatimah Abdullah mengadakan pertemuan dengan ranting Wanita PBB Tanjong Datu serta menghadiri majlis tahlil Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di Surau Kampung Sebat Melayu, Sematan.

Menteri Muda Penyelidikan Sains dan Bioteknologi Sarawak Dr Annuar Rapa’ee pula akan menghadiri solat maghrib dan isyak berjemaah di Surau Kampung Dagang.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *