Atlet Terengganu yang mempamer aksi cemerlang pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) akan menerima insentif khas daripada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata jumlah dan bentuk insentif akan diputuskan dalam mesyuarat EXCO minggu depan.

Beliau berkata, sepanjang KL2017, atlet Terengganu memungut 38 emas diketuai pelumba basikal, Fatehah Mustaffa yang menggondol empat pingat emas; dan Azizulhasni Awang serta Irwandie Lakasek dengan masing-masing dua emas menerusi acara sama.

Selain itu beliau berkata, atlet Terengganu turut meraih 19 pingat perak dan 14 gangsa, sekali gus membantu negara mengungguli carta pungutan pingat dengan 145 emas, 92 perak serta 86 gangsa.

“Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin juga seorang daripada penyumbang keseluruhan 71 pingat daripada atlet negeri ini pada temasya sukan itu.

“Baginda meraih emas menerusi acara kuda lasak individu selepas menamatkan perlumbaan sejauh 80 kilometer dengan catatan masa tiga jam, 48 minit 38 saat di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong, Setiu,” katanya selepas perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2017 peringkat negeri di sini, hari ini.

Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan berkenan berangkat menyampaikan hadiah kepada pemenang perarakan.

Turut berangkat, kekanda Tengku Muhammad Ismail, Tengku Nadhirah Zahrah Sultan Mizan.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Ismail; Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Datuk Mohd Zuber Embong dan Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Bulan Kebangsaan 2017 peringkat negeri, Datuk Tengku Putera Awang.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *