Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ASEAN Monsoon Casting Tournament Di Tasik Kenyir

ASEAN Monsoon Casting Tournament Di Tasik Kenyir

KUALA NERUS, Lebih 300 kaki pancing dari dalam dan luar negara akan berkumpul di Tasik Kenyir selama empat hari bermula 30 Nov ini bagi menyertai ‘Asean Monsoon Casting Tournament 2017’.

Pengarah Pejabat Pelancongan Negeri Terengganu Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata kejohanan hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan Sekretariat Monsoon Casting Tournament (MCT) kali ini turut mendapat kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

“Program kali ini melibatkan 350 peserta manakala 25 peserta dari negara jiran telah mendaftar sebagai peserta awal. Penganjuran ini merupakan yang ketiga di peringkat ASEAN manakala yang kelapan bagi pertandingan peringkat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar berhubung kejohanan itu yang turut dihadiri Pengurus Pelancongan Ketengah Ahmad Fathil Abd Ghani.

Tun Ahmad Faisal berkata lapan peserta dari Korea, masing-masing tiga peserta dari Singapura dan Indonesia manakala seorang dari Amerika Syarikat serta Austria antara peserta luar negara yang telah mengesahkan penyertaan.

Beliau berkata sebanyak sembilan kategori akan dipertandingkan iaitu King of AMCT 2017, King of Sebarau, King of Toman, King of Special, Best of Barramundi, Best of Boatman/Guide, Best of International Angler, Best of Kayak/Fly Fishing Angler dan Best of Handmade Lure.

Hadiah keseluruhan bernilai RM65,000 yang berupa enjin bot, bot fiber serta peralatan memancing bakal menjadi milik pemenang dan empat peserta yang layak akan dipilih menyertai International Bass Fishing 2018 di Andong Lake, Korea Selatan.

Tun Ahmad Faisal berkata program itu diadakan selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mempromosikan Tasik Kenyir sebagai kawasan bebas cukai dan destinasi ekopelancongan.

Pada program tahun 2015 dan 2016 sebanyak 60,500 benih ikan jenis temoleh, lampam, kelah, jelawat, kerandang dan sebarau yang disumbang Jabatan Perikanan dan individu, telah dilepaskan di tasik terbesar buatan manusia itu.

“Tahun ini, beberapa pihak akan melepaskan sebanyak 100,000 benih ikan pelbagai spesies manakala Pejabat Pelancongan sendiri akan melepaskan 10,000 benih pelbagai jenis ikan air tawar semasa pertandingan berlangsung,” katanya.

Katanya, pihak penganjur menyediakan 14 buah houseboat dan 150 bot fiber yang akan digunakan sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Leave a Reply

Top