Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Apple Digesa Kaji Ketagihan Dikalangan Kanak-Kanak

Apple Digesa Kaji Ketagihan Dikalangan Kanak-Kanak

Dua pemegang saham terbesar menggesa Apple supaya mengkaji sama ada iPhone terbukti menyebabkan ketagihan dalam kalangan kanak-kanak dan penggunaan kerap telefon pintar mungkin memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental mereka, lapor Bloomberg News hari ini.

Dua entiti itu Jana Partners LLC dan California State Teachers’ Retirement System (Calstrs) berkata, ada bukti meningkat terutama dalam kalangan pengguna muda yang kerap menggunakannya, wujud kesan negatif tidak disengajakan terhadap kesihatan mereka.

“Meningkatnya perasaan tidak senang masyarakat berhubung penggunaan kerap telefon pintar oleh kanak-kanak mungkin memberi kesan kepada Apple,” mereka memberi amaran menerusi sepucuk surat kepada Apple bertarikh 6 Januari.

Dua pemegang saham terbabit yang masing-masing memiliki kira-kira AS$2 bilion (RM7.99 bilion) saham dalam syarikat berkenaan menggesa ia membangunkan aplikasi tambahan buat ibu bapa mengehadkan penggunaan telefon bimbit oleh kanak-kanak.

Mereka berkata, menangani masalah itu kini akan menambah nilai syarikat untuk jangka panjang buat semua pemegang saham.

Bloomberg berkata, jurucakap Apple enggan mengulas mengenai surat itu, yang kali pertama dilaporkan akhbar Wall Street Journal.

Apple sudah menyediakan kawalan ibu bapa dalam iPhone yang membolehkan sekatan akses terhadap sesetengah aplikasi dan kandungan.

Surat itu mewakili sumber baharu tekanan ke atas Apple selepas dipaksa memohon maaf bulan lalu kerana melambatkan prestasi model lama iPhone.

Kumpulan pengguna menuduh gergasi teknologi itu melambatkan model lama bagi menggalakkan pembelian model baharu, namun Apple berkata, ia mengoptimumkan prestasi telefon dengan bateri lama dan mengurangkan harga dengan menggantikan bateri. -AFP

Leave a Reply

Top