Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > APMM Tahan Nelayan Indonesia Ceroboh Perairan Pulau Kendi

APMM Tahan Nelayan Indonesia Ceroboh Perairan Pulau Kendi

mh online

GEORGE TOWN, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan satu bot nelayan Indonesia bersama seorang tekong dan lima awak-awak yang menceroboh perairan negara di 44 batu nautika barat laut Pulau Kendi dekat sini pada Jumaat.

Ketua Penguatkuasa APMM Daerah Maritim 2 Pulau Pinang Laksamana Pertama Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata bot nelayan itu ditahan pada pukul 11 pagi semalam kerana menceroboh zon perikanan Malaysia dan menangkap ikan tanpa kebenaran selain tidak mempunyai nombor pendaftaran.

“Mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan 19 hingga 35 tahun yang kesemuanya berasal dari Indonesia.

“Kesemua mereka dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menyita bot itu dan merampas ikan seberat 300 kilogram.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya.

Kamaruszaman berkata pihaknya sering menerima aduan daripada nelayan tempatan mengenai pencerobohan secara haram di perairan Malaysia.

Katanya APMM akan mempertingkatkan rondaan dan menguatkuasakan undang-undang terutamanya di kawasan sempadan perairan negara bagi mengelak aktiviti pencerobohan secara haram daripada terus berleluasa.

Leave a Reply

Top