Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > APMM Tahan Bot Dan Nelayan Asing Di Perairan Pulau Tioman

APMM Tahan Bot Dan Nelayan Asing Di Perairan Pulau Tioman

KEMAMAN, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan bot dan 18 nelayan asing termasuk seorang tekong warganegara Vietnam yang disyaki menangkap ikan secara haram di perairan Pulau Tioman, petang semalam.

Pengarah Maritim Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim Zulkarnain Mohd Omar dalam satu kenyataan berkata bot berkenaan dikesan melakukan aktiviti tersebut ketika kapal peronda APMM melaksanakan Operasi Perkasa Timur di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), kira-kira 23 batu nautika dari Pulau Tioman pada pukul 5.25 petang semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 18 awak-awak termasuk tekong dipercayai warganegara Vietnam berumur antara 20 hingga 44 tahun disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta tiada dokumen pengenalan diri.

“Tangkapan ini merupakan tangkapan kedua dalam tempoh tiga hari melibatkan bot nelayan asing yang menceroboh perairan Malaysia,” katanya.

“Kesemua mereka telah ditahan dan di bawa masuk ke jeti  Pangkalan Maritim Kemaman, untuk disiasat di bawah Akta Perikanan,” katanya.

Katanya kesemua hasil ikan yang dianggarkan 6,000 kilogram (kg) dan sotong kering seberat 100kg turut dirampas dengan nilai rampasan dianggarkan hampir RM1.5 juta.

“Operasi ini akan dipertingkatkan dari masa ke masa walaupun pada musim tengkujuh untuk membenteras aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan asing di dalam perairan Malaysia,” katanya.

Leave a Reply

Top