Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi berkaitan akan meneruskan pemantauan bagi memastikan perairan negara bebas daripada pencerobohan bot dan kapal nelayan asing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata sehingga tengah hari ini, pemantauan daripada tiga kapal APMM dan pesawat bombadier mendapati tiada bot nelayan asing di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara.

“Daripada posisi aset, tiada bot nelayan asing dikesan setakat pukul 12 tengah hari ini…aset kami akan memantau secara berterusan situasi ini,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Katanya kerajaan tidak akan bersikap pilih kasih terhadap nelayan yang cuba melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

“Sebelum ini, ada tangkapan dilakukan terhadap nelayan asing seperti Indonesia, Vietnam serta China jika mereka didapati melakukan aktiviti menangkap ikan di ZEE negara.

“Dalam perkembangan sekarang, jika terdapat kapal asing, kapal kita akan memeriksa jika ada aktiviti menangkap ikan. Jika memang mereka menangkap ikan, kita akan tangkap dan jika tidak, kita akan beri amaran dan usir,” katanya.

Pada 24 Mac lalu, Shahidan mendedahkan kira-kira 100 bot dan kapal dari China dikesan menceroboh perairan negara dekat Beting Patinggi Ali di Laut Cina Selatan.

Beliau berkata ekoran pencerobohan itu kerajaan telah mengerahkan aset APMM untuk memantau keadaan di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, kapal peronda APMM KD Adil juga dilaporkan mengalami kerosakan akibat dilanggar bot nelayan dalam cubaan melarikan diri selepas diusir.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *