KUALA LUMPUR, Kerajaan mengarahkan kapal ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memberi perlindungan awal kepada ‘orang hanyut’ Rohingya yang masuk ke sempadan negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ia berikutan terdapat laporan berhubung kemasukan kumpulan etnik berkenaan ke sempadan perairan pantai barat negara ini.

“Kerajaan Malaysia memandang serius berhubung laporan kezaliman dan penindasan yang berterusan terhadap etnik Rohingya.

​”​Kapal APMM yang membuat rondaan di perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak akan dibekalkan dengan stok makanan dan minuman untuk diagihkan kepada kumpulan berkenaan.

“Mereka dibawa ke pangkalan Maritim terdekat dan diserahkan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri untuk urusan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah kenyataan itu, beliau berkata, pada masa yang sama Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut diarahkan untuk menempatkan anggota mereka di dalam kapal APMM berkenaan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan kes rawatan kecemasan.

“Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Mercy Malaysia yang memiliki pasukan pegawai perubatan sukarela amat dialu-alukan untuk turut menyertai misi bantuan kemanusiaan ini.

“Berdasarkan pelbagai reaksi oleh masyarakat dunia, kerajaan Myanmar yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi diharap dapat menghentikan tindakan kekerasan terhadap etnik Rohingya dengan segera. Beliau adalah penerima Anugerah Nobel Keamanan, bukan anugerah kezaliman,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *