Anda di sini!
Utama > Terkini > Aplikasi IMalaysia Galak Semangat Patriotisme Di Platform Maya

Aplikasi IMalaysia Galak Semangat Patriotisme Di Platform Maya

mh online

Demi memanfaatkan teknologi dan trend semasa sesuai dengan selera belia masa kini, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melancarkan aplikasi dan permainan telefon pintar, iMalaysia.

Aplikasi itu diperkenalkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, dengan matlamat menjadi pangkalan maklumat dan saluran utama mengenai perkara berkaitan sambutan Hari Kebangsaan bermula 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif MDeC Datuk Yasmin Mahmood berkata aplikasi itu adalah yang pertama dicipta khusus untuk menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan negara dan 1Malaysia sempena Hari Kebangsaan.

“Saya pasti generasi muda zaman kini juga mempunyai semangat sayangkan negara, cuma kadang-kadang mereka terleka dengan dunia maya jadi kita bawakan sejarah negara dalam bentuk yang mereka gemari,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Aplikasi dan Permainan iMalaysia di sini hari ini.

Melalui aplikasi iMalaysia, pengguna boleh berkongsi cerita tentang semangat patriotisme, mencari maklumat terkini mengenai acara-acara rasmi yang akan diadakan, menerima senarai promosi berkaitan kemerdekaan malah pengguna juga boleh menghantar ucapan melalui medium berkenaan.

Selain aplikasi iMalaysia, turut dilancarkan adalah iMalaysia Game iaitu sebuah aplikasi permainan yang berkonsepkan permainan larian yang berlatarkan sejarah negara.

Kedua-dua aplikasi tersebut dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak dan ia boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play dan Apple App Store.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top