Share on Facebook

OLEH : SHAHBUDIN EMBUN

Ada masanya salah tafsiran tentang satu ayat boleh menyebabkan kita tidak menilai apa yang cuba disampaikan secara amnya. Apatah lagi perangai mereka yang suka menangguk di air keruh akan memburukkan lagi keadaan.Golongan ini akan mengambil kesempatan terhadap sesuatu kenyataan dan kemudian cuba dijadikannya sebagai suatu isu yang kontroversi.

Begitulah isunya apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ada menyatakan yang Universiti teknologi Mara (UiTM) sebagai tempat mereka yang “slow learner” dalam pelajaran telah disalah tafsir.

Ucapan beliau pada Majlis Anugerah Nadi Negara 2017 di ibu negara baru baru ini telah menjadi tular dan mendapat kecaman daripada pelbagai pihak khususnya warga UiTM dan alumni institut ini yang telah banyak berjasa kepada kejayaan bangsa Melayu .

Apa yang kita lupa ialah ucapan Tengku Adnan yang penuh bersemangat pada malam itu, adalah berkaitan dengan kejayaan bangsa Melayu dan peranan kerajaan serta UMNO dalam membantu melahirkan lebih ramai graduan bangsa Melayu dan bumiputera dalam pelbagai bidang .

Namun hanya disebabkan penggunaan perkataan atau ayat yang dianggap sebagai sesuatu yang negatif, maka itulah yang menjadi perbincangan dan topik yang hangat diperkatakan.

Tengku Adnan telah menjelaskan yang sebarang kesilapan teknikal dalam ucapan berkenaan adalah tidak disengajakan. Beliau menjelaskan lagi, apa yang cuba disampaikan menerusi ucapan ‘off the cut’ berkenaan mungkin tidak begitu kemas menyebabkan ada pihak tidak bertanggungjawab telah mengambil kesempatan menyalah tafsir apa yang cuba dijelaskan.

“Itu adalah kelemahan yang ada pada semua manusia. Sama-sama kita tegakkan kehebatan bangsa Melayu kita seterusnya,” Itulah yang dinyatakan oleh Tengku Adnan yang lebih mementingkan usaha untuk terus menegakkan kehebatan bangsa Melayu.

Disebabkan isu ini juga mungkin tidak ramai yang ambil kisah dengan ucapan Tengku Adnan yang memberi penekanan kepada kejayaan UiTM melahirkan begitu ramai golongan professional.
Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan yang institut ini telah memberi peluang kepada ramai pelajar bumiputera untuk berjaya dalam pelajaran sehingga ramai di antaranya yang telah berjaya sehingga ke peringkat PHD serta berjaya dalam kelulusan professional seperti ACA dan ICMA.

Isu inilah yang sebenarnya perlu terus dipertengahkan dan terus diingatkan kepada bangsa Melayu semua bahawa kerajaan daripada dahulu lagi sentiasa mengutamakan soal pendidikan dan memberi peluang kepada mereka yang memerlukannya.Itu sebabnya kita perlu mendengar ucapan penuh Tengku Adnan dan bukannya mengambil satu perkataan dan kemudian ditularkan seolah-olah apa yang cuba ditekankan oleh beliau merupakan seuatu yang negatif.

Rasanya masih ramai di antara alumni UiTM yang tahu bahwa peluang yang diberikan kepada mereka telah membuka jalan kepada kejayaan yang lebih cemerlang Ya, mungkin suatu ketika dahulu, nama ITM tidak gah seperti nama universiiti tempatan yang lain, tetapi saya yakin setiap di antara kita yang pernah belajar di UiTM berasa bangga menjadi penuntut yang sama-sama membangun dengan ITM sehingga akhirnya bergelar sebagai UiTM.

Daripada pengalaman yang dilalui sendiri, antara kelebihan di UiTM dan sehingga kini masih dipertahankan ialah dari segi latihan praktikalnya. Dalam hal ini, setiap penuntut yang dilahirkan di UiTM telah diberi latihan praktikal sebagaimana dunia pekerjaan yang sebenarnya.

Itu sbabnya Warga dan para graduan UiTM tidak bersembunyi di sebalik kehebatan keputusan di atas kertas.Apa yang lebih penting, mereka ini didedahkan dengan dunia realiti pekerjaan dan tidak akan menghadapi sebarang masalah apabila mula menceburi bidang kerjaya pula.Untuk makluman semua sehingga hari ini, UiTM merupakan sebuah institusi Bumiputera yang begitu berjaya dan cemerlang apabila berjaya melahirkan lebih 700,000 graduan Melayu dan Bumiputera.

Tidak hairanlah kejayaan UiTM telah mendapat kepercayaan daripada pihak kerajaan apabila melalui Bajet 2018, kerajaan telah memperuntukkan RM2.4 bilion kepada UiTM di bawah Dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB).Melalui dasar itu juga, kerajaan akan menambah bilangan kemasukan pelajar ke UiTM kepada lebih 165,000 dengan sasaran mencapai 250,000 pelajar menjelang tahun 2020.

Peruntukan ini merupakan pertama kali diberikan kepada UiTM yang mana ini usaha kerajaan untuk memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera menjadi agenda nasional sejajar dengan masyarakat Bumiputera yang kini menghampiri 70 peratus daripada keseluruhan 32 juta rakyat Malaysia.

Fakta ini semua menunjukkan bagaimana ucapan Tengku Adnan begitu tepat sekali , iaitu kerajaan sentiasa prihatin dan memberikan komitmen kepada kemajuan pendidikan bangsa Melayu dan Bumiputera hinggakan hari ini telah ramai melahirkan para graduan yang mencipta nama dalam pelbagai bidang professional dan pentadbiran di negara kita.

Kita juga perlu mengambil ikitbar daipada isu ini supaya jangan cepat melatah dan lihatlah sesuatu kenyataan itu secara menyeluruh bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas.

Shahbudin Embun
Pengerusi Biro Politik
Majlis Perundingan Melayu Malaysia

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *