Anda di sini!
Utama > Terkini > ANWAR TELAH DIBERI RAWATAN YANG SEMPURNA

ANWAR TELAH DIBERI RAWATAN YANG SEMPURNA

mh online

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diberi layanan sewajarnya termasuk peluang menjalani rawatan kesihatan sebanyak 83 kali sejak beliau dipenjarakan pada 10 Feb lepas, sidang Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata rawatan terhadap bekas ketua pembangkang itu termasuk 10 kali rawatan fisioterapi yang telah disyorkan oleh tiga pakar Ortopedik yang dipilih oleh keluarga beliau sendiri dan dipantau anggota fisioterapi penjara dari semasa ke semasa.

Beliau berkata Jabatan Penjara juga akan menyegerakan rawatan terhadap banduan seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 14 dan Seksyen 37 Akta Penjara 1995.

“Penjagaan kesihatan seseorang banduan menjadi keutamaan kepada Jabatan Penjara, oleh itu langkah menjalani rawatan kesihatan dimulakan sebaik sahaja banduan dimasukkan di penjara.

“Sekiranya seseorang banduan telah disyorkan oleh pakar perubatan untuk mendapatkan rawatan lanjut, pihak penjara akan menghantar banduan ke hospital untuk mendapatkan bantuan termasuk rawatan daripada pakar,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang ingin tahu prosedur piawaian serta tempoh masa yang diperlukan bagi mendapatkan perhatian kesihatan segera bagi tahanan penjara.

Menjawab soalan Nurul Izzah yang mendakwa kerajaan gagal memenuhi saranan doktor pakar untuk menjalankan fisioterapi intensif dan pembedahan bahu yang diperlukan Anwar, Nur Jazlan berkata Jabatan Penjara sentiasa bekerjasama dengan keluarga Anwar bagi memastikan penjagaan kesihatan beliau terjamin.

Beliau berkata Anwar menerima pelbagai keistimewaan berbanding banduan lain sejak dipenjarakan.

“Sepanjang 38 minggu dipenjarakan, Anwar telah diberi ruang untuk berjumpa keluarga sebanyak 15 kali, diberi perjumpaan bersama peguam sebanyak 65 kali, menjalankan solat Jumaat sebanyak 35 kali, diberi peluang menghadiri pengebumian bapa pada 5 April lepas serta perjumpaan dengan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) pada 20 Okt lepas.

“Terdapat lebih 50,000 banduan seluruh Malaysia … sepatutnya layanan sama rata tetapi beliau diberi peluang untuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti solat Jumaat, rawatan fisioterapi di luar penjara. Banduan lain tidak dapat keistimewaan yang sama,” katanya.

Pada 10 Feb lepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Anwar terhadap kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lepas dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.

Sementara itu, mengenai kenyataan Nurul Izzah dalam persidangan dewan mengenai Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa penahanan Anwar di penjara adalah tidak perlu dan mendesak agar dibebaskan serta-merta, Nur Jazlan berkata pihak tersebut tidak ada hak mempertikai keputusan mahkamah.

“Perlu diingat bahawa mahkamah membuat keputusan selepas menimbangkan tuduhan jenayah individu terhadap Anwar. Tidak ada kena mengena dengan kerajaan,” katanya menerusi khidmat aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top