Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Anggota Rela Akan Ditempatkan Di Esszone Bantu Anggota Keselamatan – TPM

Anggota Rela Akan Ditempatkan Di Esszone Bantu Anggota Keselamatan – TPM

Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan ditempatkan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) bagi membantu anggota pasukan keselamatan dan penguat kuasa melaksanakan tugas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pihaknya akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menentukan kaedah pelaksanaannya, termasuk bilangan anggota Rela yang akan ditempatkan di ESSZone yang terletak di bawah seliaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

“Kita akan membantu ESSCom di mana ESSCom ini diletakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara. Untuk kesiapsiagaan di kawasan ESSZone sepanjang 1,700 kilometer di bawah kawalan ESSCom, ini akan dibantu oleh Rela,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Rela ke-45 peringkat kebangsaan di Padang Merdeka, di sini, Sabtu.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ketua Pengarah Rela Zulkifli Abidin dan kalangan menteri persekutuan dan negeri.

Ahmad Zahid berkata peranan anggota Rela di ESSZone ialah sebagai pasukan tambahan manakala kuasa menangkap masih terletak di tangan pasukan polis dan tentera.

“Dengan itu, Rela adalah tenaga yang akan membantu polis dan tentera untuk melaksanakan undang-undang dan penguatkuasaan,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut memakaikan pangkat Ketua Pesuruhjaya Rela Kehormat kepada Musa.

Sambutan Hari Rela peringkat kebangsaan yang julung kali diadakan di Sabah itu dihadiri kira-kira 8,100 anggota Rela dari seluruh Sabah termasuk 200 anggota dari Lawas, Sarawak.

Antara objektif program berkenaan ialah untuk memberi peluang kepada anggota Rela, khususnya di Sabah, untuk mendengar amanat daripada timbalan perdana menteri mengenai hala tuju dan pembabitan Rela dalam mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya.

Program berkenaan juga bertujuan memberi semangat kepada anggota Rela dalam memastikan transformasi dalam jabatan itu bergerak seiring dengan kerajaan serta memastikan negara sentiasa aman, maju dan selamat melalui slogan ‘Dari Rakyat, Bersama Rakyat dan Untuk Rakyat’.

Leave a Reply

Top