Penantian lebih lima jam kira-kira 2,000 peminat untuk melihat kelibat David Beckham di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berbaloi apabila dapat bertentang mata dengan personaliti bola sepak dunia itu, semalam.

Bekas pemain Manchester United dan Real Madrid itu mengakui terharu dapat bertemu penyokong setia yang disifatkannya seperti keluarga sendiri di setiap destinasi disinggahi.

“Anda semua penyokong yang sangat menakjubkan. Pertemuan seumpama ini bagai perhimpunan keluarga. Ia sangat menyeronokkan, saya berasa sangat bertuah.

“Sukar digambarkan perasaan ini apabila bertemu ramai individu hebat seperti anda dan menerima layanan hangat yang juga tanda kehadiran saya dialu-alukan,” katanya ketika tampil di pentas KLCC.

Beckham, 42, diterbangkan AIA Malaysia ke ibu kota sempena program eksklusif AIA Vitality Wellness Festival yang meraikan kerjasama kedua-dua pihak dalam menggerakkan kempen gaya hidup sihat di rantau ini.

Acara sehari itu diisi aktiviti kecergasan yang turut menawarkan pelbagai ganjaran dan kemuncaknya adalah kemunculan bintang tersohor dunia sukan berkenaan.

Beckham yang dalam rangka promosi di Asia selaku Duta Global AIA, terlebih dulu singgah di Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura sebelum Malaysia yang menjadi destinasi terakhir.

Suami kepada Victoria atau Posh Spice itu dilantik sebagai Duta Global AIA pada Mac lalu.

Ia bukan kunjungan pertamanya ke ibu negara kerana pada November 2014, beliau turut menghadiri sambutan ulang tahun jam jenama mewah di Pavilion.

Sementara itu, kemunculan Beckham yang tampak segak mengenakan sut membuatkan penonton bersorak, malah perbualannya sepanjang setengah jam di pentas turut menyerlahkan sikap bapa penyayang apabila tidak lekang berkongsi perihal anak-anaknya.

Bersama bekas anggota Spice Girls yang dikahwininya pada 1999 itu, beliau dikurniakan empat cahaya mata, iaitu Brooklyn, Romeo James, Harper Seven dan Cruz Beckham.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *