Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Akui Kesilapan Sendiri, Jangan Salahkan Pihak Lain

Akui Kesilapan Sendiri, Jangan Salahkan Pihak Lain

Kerajaan Pulau Pinang tidak boleh menyalahkan Kerajaan Persekutuan apabila berlaku bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir.

Mereka sepatutnya mengakui kesilapan sendiri kerana gagal mengikut garis panduan pembangunan yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkata kerajaan Negeri Pulau Pinang enggan mematuhi garis panduan pembangunan lereng bukit, seperti yang ditetapkan sejak 2009.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang hanya mematuhi Garis Panduan Keselamatan Pembangunan Lereng Bukit yang mereka buat sendiri pada 2012 kerana ‘kononnya’ bersesuaian dengan negeri itu.

“Pihak kerajaan negeri sepatutnya patuhi saja garis kementerian sudah keluarkan kerana ia diiktiraf Majlis Pembangunan Fizikal Negara yang dipengerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan semua Ketua Menteri dan Menteri Besar menjadi ahlinya.

“Saya hendak nasihat mana-mana kerajaan negeri supaya patuhi apa juga garis panduan yang kita tetapkan kerana ia sudah mendapat persetujuan semua. Saya akui memang kementerian tiada kuasa untuk menguat kuasa tetapi tidak salah kerajaan negeri menguna pakai peraturan dan garis panduan itu.

“Kita tidak mahu akhirnya kerana mahu ikut cara sendiri apabila berlaku bencana alam, Kerajaan Persekutuan dipersalahkan konon tidak memantau dan memberi kelulusan projek,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zairil Khir Johari (DAP-Bukit Bendera) yang menyatakan projek pembangunan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, Pulau Pinang tidak mendapat bantahan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) pada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sehenti.

Dalam tragedi pada 21 Oktober lalu, 11 pekerja binaan termasuk seorang warga tempatan disahkan maut akibat ditimpa runtuhan tanah di tapak projek perumahan mampu milik 53 tingkat di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut membantah projek pembangunan itu kerana menjejaskan alam sekitar di kawasan lereng bukit.

Noh menjelaskan PLANMalaysia mengemukakan dua bantahan terhadap projek pembangunan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah itu, iaitu pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perancangan Negeri yang dipengerusikan Exco Perumahan Negeri, Jagdeep Singh Deo dan Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri yang dipengerusi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“PLANMalaysia memang tidak menyokong kerana jumlah kepadatan yang tinggi untuk projek itu, iaitu daripada 30 unit kediaman untuk seekar tanah menjadi 147 unit per ekar. Kita ada mencadangkan kepada 120 unit per ekar selaras garis panduan penyelarasan rumah kos rendah rendah ketika itu.

“Kerajàan Negeri meneruskan projek ini walaupun sudah ada bantahan dan cadangan oleh PLANMalaysia dan JAS,” katanya.

Beliau berkata, tragedi bencana alam ini diakui ada yang berlaku bukan kerana kecuaian manusia tetapi sesetengah kes boleh dielak jika ada perancangan yang tepat.

Leave a Reply

Top