Anda di sini!
Utama > Belia > Aktiviti Kokurikulum Di Sekolah , IPT Medium Sekat Pengaruh DAESH

Aktiviti Kokurikulum Di Sekolah , IPT Medium Sekat Pengaruh DAESH

mh online

Ruang aktiviti kokurikulum di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) perlu digunakan sebagai medium membendung penglibatan pelajar Islam di negara ini dalam kegiatan kumpulan pengganas seperti Daesh, kata Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Beliau berkata langkah pencegahan berkenaan harus segera diambil bagi mengekang penglibatan masyarakat terutama golongan muda dengan aktiviti kumpulan pengganas sebelum menjadi lebih serius pada masa akan datang.

Menurutnya, penambahbaikan dalam modul-modul kokurikulum di sekolah mampu memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai maksud sebenar ‘terma jihad’ yang diperjuangkan agama Islam dan yang disalahgunakan kumpulan pengganas.

“Dalam jihad Islam, adalah haram untuk kita membunuh orang tua, kanak-kanak dan wanita tetapi gerakan ekstremis sekarang tak kira sesiapa pun mereka bunuh termasuk diri sendiri … sebenarnya tidak ada jalan pintas untuk mati syahid,” katanya kepada Bernama, di sini.

Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan dengan penglibatan tiga rakyat negaranya menyertai kumpulan pengganas Daesh dan meletupkan diri mereka sendiri dalam serangan di Syria dan Iraq.

Bersetuju dengan cadangan Mohammad Shukri ialah Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Ustaz Zamihan Mat Zin al-Ghari yang berpendapat kerajaan perlu menyemak semula kurikulum subjek Pendidikan Islam dan Moral di sekolah dan IPT di negara ini sebagai langkah awal membendung masyarakat terlibat dengan aktiviti keganasan.

“Sesi pencerahan subjek ini harus dipergiatkan oleh agensi agama bagi memberi pencerahan kepada belia dan masyarakat yang kabur dengan dakyah kumpulan militan ini,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha pula berkata dalam usaha memerangi penularan fahaman ekstremisme, jabatan itu sentiasa menganjurkan program dakwah, penerangan, dialog dan penjelasan kepada semua pihak merangkumi kakitangan awam dan swasta, badan bukan kerajaan, pimpinan masyarakat, pelajar IPT serta guru-guru agama.

“Di samping itu, Jakim turut menggunakan saluran media penyiaran dengan menerbitkan program-program agama untuk tv dan radio, menerbitkan risalah-risalah khas selain turut aktif menggunakan saluran media baharu bagi memberi didikan,” katanya.

Katanya melalui program yang dilaksanakan, Jakim telah berjaya mendekati dan memberi penerangan kepada lebih 8.6 juta orang di seluruh negara sepanjang tahun lepas dalam usaha menangani isu terkini tentang penyebaran fahaman yang dibawa oleh kumpulan militan Daesh atau IS.

Menerangkan mengenai proses pemulihan yang perlu dilakukan terhadap golongan yang terlibat dengan aktiviti kumpulan pengganas terbabit, Othman berkata jalan terbaik adalah melalui cabang pendidikan dengan cara berdialog, berhujah dan mendidik serta memberi khidmat nasihat serta kaunseling.

“Metodologi kefahaman ilmu mestilah diperbetulkan terlebih dahulu dan proses serta tindakan secara dialog dan ilmu ini hendaklah dilaksanakan secara berterusan,” tambahnya.

Sehingga kini, polis telah berjaya menahan sebanyak 82 individu dalam negara yang disyaki terlibat dengan anasir Daesh sepanjang tahun lepas, dengan 73 daripadanya adalah warganegara Malaysia.

Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2014 yang menyaksikan 59 tangkapan dilakukan dengan 47 daripadanya adalah warga tempatan.

Minggu depan, Malaysia akan menjadi tumpuan apabila menganjurkan persidangan antarabangsa selama dua hari mengenai strategi antiradikalisme dan memerangi keganasan melampau, selepas ia dipilih oleh Amerika Syarikat untuk menjadi tuan rumah pusat maklumat balas digital serantau bagi memerangi golongan pelampau.

Leave a Reply

Top