Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ahmad Zahid Sebak Bertemu Rakan Lama

Ahmad Zahid Sebak Bertemu Rakan Lama

BAGAN DATUK, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebak sebaik bertemu semula rakan karibnya yang kini menghidap angin ahmar di Kampung Teluk Kerdu dekat sini tengah hari tadi.

Rakannya itu, Baharom Said, 66, turut menangis kerana terharu menerima kunjungan Ahmad Zahid yang tidak ditemuinya sejak kira-kira tiga tahun lalu selepas diserang penyakit berkenaan.

Ahmad Zahid tiba di rumah Baharom yang juga Ketua UMNO Cawangan Teluk Kerdu, jam 1.30 tengah hari dan terus memeluk sahabatnya yang berkerusi roda sebelum menghabiskan masa kira-kira 30 minit di rumah itu.

Isteri Baharom, Muslipah Kosni, 62, berkata Ahmad Zahid dan suaminya sudah saling mengenali sejak kira-kira 45 tahun lalu ketika mereka sama-sama berjuang dalam pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk.

“Datuk Seri (Ahmad Zahid) juga sering bertandang ke rumah kami ketika menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian setiap kali ada pertemuan di sini kerana ketika itu kampung ini tidak ada dewan untuk berkumpul,” katanya ditemui di rumahnya di sini.

Muslipah berkata, dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mengarahkan kepimpinan UMNO Bahagian Bagan Datuk untuk memantau keadaan kesihatan Baharom selain akan cuba membantu proses rawatan.

Beliau berkata, suaminya yang ketika ini lumpuh separuh badan iaitu bahagian kanan tubuhnya, terlantar kira-kira enam bulan sebaik diserang angin ahmar pada tahun 2014 sebelum beransur pulih dan boleh duduk atas kerusi roda tidak lama kemudian.

Leave a Reply

Top