Share on Facebook

KUALA LUMPUR, UMNO mencatatkan jumlah keahlian 3,644,295 orang dengan sebanyak 21,851 cawangan di seluruh negara sehingga 30 November lalu, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, Sabah mencatatkan jumlah keahlian tertinggi menerusi Bahagian Silam, manakala Kampung Batu Putih Darat di Libaran pula menjadi cawangan yang mempunyai keahlian tertinggi.

Tengku Adnan yang membentangkan laporan sebelum Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, berkata keahlian UMNO terus meningkat sekali gus membuktikan bahawa parti berkenaan sentiasa mendapat sokongan.

“Inilah satu-satunya persidangan yang menghimpunkan bangsa Melayu sebagai sebuah parti politik, berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu, demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.

“Ini membuktikan UMNO adalah parti yang mempunyai struktur yang mantap, organisasi tersusun, ada Perlembagaan dan peraturan serta patuh kepada undang-undang serta menepati kehendak Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS),” katanya.

Tengku Adnan berkata, perhimpunan berkenaan bukan sahaja platform untuk anggota parti akar umbi mendengar amanat dan amanah daripada pemimpin, tetapi juga lambang kebersamaan dalam parti itu yang meliputi semua peringkat.

Sementara itu, Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin, berkata perhimpunan kali ini membawa sedikit kelainan apabila maklumat persidangan diedarkan menerusi cakera padat bagi mengurangkan penggunaan kertas.

“Ibu pejabat tidak lagi cetak buku, kita bekalkan cakera padat seiring perkembangan digital. Namun, ada buku jawapan dan usul yang diberi kepada Ahli Majlis Tertinggi dan Setiausaha UMNO Bahagian,” katanya.

Perhimpunan kali ini dihadiri 2,718 perwakilan, 95 delegasi dari 16 negara antaranya China, Kemboja dan Indonesia yang mewakili 20 parti serta 75 agensi media cetak dan elektronik.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *