Komuniti perniagaan India dan India Muslim di negara ini perlu mewujud serta memperluaskan jaringan perniagaan mereka di peringkat global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika berucap pada majlis Anugerah Dinar Emas kali kedua anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (MIMCOIN) di sini malam ini, beliau berkata langkah itu bukan sahaja baik bagi imej komuniti itu di persada global, tetapi turut melonjak dan mempromosi jenama Malaysia secara keseluruhan.

“Saya ingin menggesa anggota MIMCOIN, terutamanya yang terlibat secara aktif dalam perniagaan, supaya mewujudkan jenama Malaysia di luar negara, untuk mempromosi Malaysia di luar negara, untuk mengadakan jaringan antarabangsa.

“…dan saya percaya sekiranya jaringan seperti ini diperkukuhkan, ia bukan sahaja baik bagi komuniti India dan India Muslim, tetapi juga kepada Malaysia keseluruhannya,” kata Ahmad Zahid.

Majlis makan malam dan penyampaian anugerah itu, dianjurkan oleh MIMCOIN untuk menyediakan persekitaran yang ideal bagi pemimpin korporat bertanya khabar dan berkongsi pengalaman mereka sambil memberi pandangan yang amat berharga dalam aspek tertentu dunia perniagaan.

Berucap lanjut, Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional berkata, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa komited untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan masyarakat India dan India Muslim di negara ini.

“Sewaktu PRU (Pilihan Raya Umum 2013) dulu, ada masalah (dari segi sokongan) sedikit di kalangan masyarakat India.. tetapi Perdana Menteri tidak mengabaikan, malah menyediakan skim khas untuk membantu bukan saja dalam bidang pendidikan, tetapi ekonomi dan keusahawanan.”

“Ini memperlihatkan komitmen jelas, daripada Kerajaan Malaysia, terhadap usaha untuk menjaga kesejahteraan komuniti India, termasuk India Muslim di negara ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berharap masyarakat berkenaan terus mempunyai keyakinan dan melahirkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Kerajaan Persekutuan sekarang.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *