Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 6 Direman Bantu Siasatan Kes Bunuh

6 Direman Bantu Siasatan Kes Bunuh

JOHOR BAHRU, Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan polis untuk menahan reman enam individu bagi membantu siasatan kes bunuh di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di sini, Ahad lepas.

Majistret Noor Aisyah Ahmad membenarkan reman selama tujuh hari bermula hari ini terhadap lima lelaki berumur lingkungan 20-an dan wanita berumur 19 tahun itu.

Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd menerusi kenyataan mengesahkan seorang lelaki dan wanita ditahan pada 2.30 pagi, semalam, bagi membantu siasatan kes tersebut.

Empat lagi lelaki berumur 20-an pula difahamkan ditahan awal hari ini.

Dalam kejadian 7.30 malam, Ahad lepas, mangsa bunuh yang berumur 40-an mati di tempat kejadian selepas ditikam, dilanggar dan digilis kereta dinaiki empat lelaki.

Kejadian berlaku ketika mangsa dan isterinya berhenti di stesen itu untuk mengisi angin tayar kenderaannya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mengesahkan kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan dua kumpulan kongsi gelap.

Leave a Reply

Top