Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > 5 peratus produk penyelidikan UPM berjaya dikomersialkan

5 peratus produk penyelidikan UPM berjaya dikomersialkan

Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mengkomersialkan 109 produk penyelidikannya sejak tahun 1990, ujar Pengarah Putra Science Park (Pusat Inovasi dan Pengkomersilan), UPM, Prof. Madya Dr. Samsilah Roslan.

Angka itu merangkumi kira-kira lima peratus daripada jumlah hasil intelek (IP) universiti tempatan itu yang disifatkan sebagai mencapai sasaran antarabangsa.

“Dalam tempoh 15 tahun kita telah menghasilkan hasil intelek (IP). Daripada jumlah tersebut, 800 lebih adalah paten dan yang lain adalah dalam bentuk harta intelek yang lain dan daripada jumlah ini, 109 berjaya dikomersialkan,” katanya kepada media semasa Hari Terbuka Inovasi UPM di sini hari ini.

Tambahnya, produk yang dihasilkan melibatkan teknologi baharu yang diyakini memenuhi keperluan pasaran industri.

“Jadi untuk mewujudkan pasaran dan keinginan orang ramai menggunakan teknologi baru ini, kita perlu lakukan beberapa langkah-langkah tertentu sehingga akhirnya kaedah baharu yang mengubah cara sedia ada ini akan dapat diterima,” kata beliau.

Pada tahun lalu sahaja, sebanyak 34 produk teknologi telah berjaya dilesenkan.

“Dari segi jualan kasar kita, produk-produk yang telah dihasilkan daripada teknologi kita telah mencatatkan jualan kasar sebanyak RM52 juta,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun nilai IP yang belum dikomersialkan sukar untuk ditentukan kerana teknologi berkenaan perlu diterokai.

“Jadi kita memerlukan pihak industri yang ada kerangka minda inovatif dan berani untuk mengambil satu risiko perniagaan inovasi yang menjanjikan pulangan yang sangat lumayan,” ujarnya.

Beliau juga melihat sambutan yang menggalakkan diterima daripada pihak industri terhadap produk penyelidikan universiti berkenaan.

“Dengan adanya pelbagai agensi yang ditubuhkan bagi memastikan produk universiti lebih diterima oleh orang ramai, cuma dalam kalangan mereka ada yang berani terima inovasi dan ada yang ingin kekal dalam keadaan biasa. Jadi kita target kepada mereka yang berani mencuba,” kata beliau.

Leave a Reply

Top