Anda di sini!
Utama > Ekonomi > Pelaburan PNB Dipantau Pakar Syariah

Pelaburan PNB Dipantau Pakar Syariah

Pelaburan yang ditawarkan Permodalan Nasional Bhd (PNB) adalah berlandaskan ‘maqasid syariah’ serta dipantau pakar-pakar syariah dari dalam dan luar negara, kata pakar pelaburan.

Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata golongan bumiputera Islam tidak perlu bimbang terhadap produk pelaburan PNB.

“Selain itu, PNB juga merupakan institusi pelaburan kedua terbesar di Malaysia selepas Kumpulan Simpanan Wang Pekerja, oleh itu golongan Bumiputera dapat menikmati banyak faedah,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel Program Santai Labur PNB sempena Minggu Saham Amanah Malaysia 2016 di sini pada khamis.

Beliau juga menggesa golongan bumiputera yang hanya menguasai 25 peratus ekonomi negara agar merebut peluang yang ditawarkan PNB.

Maqasid bermaksud matlamat atau tujuan, manakala dalam konteks Islam perkataan itu merujuk kepada objektif yang ditetapkan oleh syarak.

Sementara itu, anggota panel syariah PNB Datuk Nooh Gadut berkata umat Islam perlu merebut peluang pelaburan unit amanah PNB tanpa ragu-ragu kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan perkara itu adalah harus.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor itu berkata pelaburan dalam unit amanah PNB dapat membawa masyarakat keluar dari kepompong kemiskinan.

Santai Labur PNB merupakan program berbentuk bual bicara yang menampilkan cendekiawan Islam, penasihat pelaburan dan perancangan kewangan, ahli ekonomi serta selebriti bagi membincangkan mengenai isu berkaitan pelaburan dan perancangan kewangan.

Antara panel jemputan lain termasuk Pengerusi Panel Syariah PNB Datuk Abdul Halim Ismail; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Bhd, Datuk Ab Latif Abu Bakar serta selebriti seperti Neelofa, Fara Fauzana dan Fasha Sandha.

Leave a Reply

Top