Anda di sini!
Utama > Hiburan > Pengacara TV Punca Janna Nick Berang

Pengacara TV Punca Janna Nick Berang

Pelakon Janna Nick mendedahkan dia bersikap acuh tak acuh dalam program terbitan sebuah stesen televisyen disebabkan berasa kesal dengan sikap pengacara rancangan itu yang banyak bertanyakan soalan berbaur lucah.

Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 21, berkata, dia berasa seperti dipermainkan dengan soalan-soalan yang turut menjatuhkan maruahnya sebagai seorang wanita.

“Mereka menyuruh saya terlibat dalam satu ‘game’ yang agak pelik untuk program itu dan secara tidak langsung ia berunsur lucah dan boleh menjatuhkan martabat seorang perempuan.

“Soalan-soalan yang ditanya oleh pengacara pula bukannya berlandaskan kerjaya saya sebaliknya terdapat soalan yang bertujuan merendahkan kedudukan saya selain berbentuk provokasi untuk menjadikan ia kontroversi.

“Saya pelik kenapa soalan itu yang ditanyakan dan pengacara pula tidak profesional,” ujarnya.
Janna berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gosip bahawa dia bersikap acuh tidak acuh dalam sebuah program baharu yang dikendalikan oleh seorang pengacara berpengalaman.

Dalam pada itu, Janna menjelaskan bahawa penampilannya dalam program tersebut hanyalah sebagai bidan terjun iaitu diminta menggantikan tetamu lain yang sepatutnya hadir bagi sesi rakaman berkenaan.

Janna Nick kini berada di Korea kerana sedang menjalani penggambaran filem berjudul Kimci Untuk Awak.

Dia juga kesal, niat untuk memudahkan produksi program itu akhirnya memberi kesan negatif kepada dirinya apabila dia dikatakan bersikap diva.

“Kejadian ini berlaku ketika saya terlibat dalam penggambaran di Johor Baru, saya diminta untuk terlibat dalam program itu pada saat-saat akhir kerana tetamu yang sepatutnya muncul tidak hadir. Biarpun saya menolak, mereka tetap datang ke set penggambaran saya dan merayu agar saya terlibat.

“Bayangkan ketika itu jadual saya terlalu padat kerana saya perlu menghabiskan 35 adegan untuk drama lakonan saya. Akhirnya pihak produksi drama saya membenarkan saya menyertai rakaman stesen TV itu selama tiga jam disebabkan tidak mahu mereka kerugian.

Tambah Janna, selepas gosip itu keluar, dia juga faham mengapa dia dipermain-mainkan begitu dalam program tersebut.

“Saya baru faham mengapa mereka seperti mempermain-mainkan saya ketika rakaman program itu, mungkin mereka rasa saya beri masalah dan buat mereka tunggu lama untuk mulakan rakaman.

“Ia bukan salah saya, mereka datang secara tiba-tiba ke set penggambaran saya tanpa sebarang temujanji. Jadi… memang mereka kena tunggu saya habiskan beberapa babak dahululah,” ujarnya.

Leave a Reply

Top