KUALA LUMPUR, Dakwaan oleh beberapa pihak bahawa 50,000 pekerja akan diberhentikan tahun ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan kos menjalankan pekerjaan adalah tidak betul, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata perubahan dalam struktur teknologi dan perindustrian yang mengakibatkan penggantian pekerja adalah ciri-ciri ekonomi dipacu pengetahuan, walaupun dalam keadaan ekonomi yang baik, dan ini juga berlaku di Malaysia ketika negara beralih daripada ekonomi berintensifkan buruh kepada ekonomi berasakan pengetahuan.

“Meskipun akan ada pemberhentian pekerja, pada pandangan kami kebanyakan pekerja yang diberhentikan akan diambil semula bekerja oleh perniagaan baharu dan sedang berkembang dan jumlah pembuangan pekerja tahun ini mungkin tidak seramai seperti yang didakwa,” kata Mustapa dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan perbincangan mengenai isu-isu kos menjalankan perniagaan dan peluang pekerjaan di Mesyuarat Kabinet dan mesyuarat Majlis Ekonomi minggu lepas, diikuti sesi dialog dengan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan 21 anggotanya pada 8 Januari.

Menurutnya pertumbuhan ekonomi mampan Malaysia – 5.9 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2017 dan unjuran kira-kira 5.0 hingga 5.5 peratus pada 2018, akan membawa kesan positif kepada peluang pekerjaan termasuk dalam bidang baharu seperti aeroangkasa dan ekonomi digital.

“Sejumlah 2.26 juta pekerjaan telah diwujudkan di bawah Program Transformasi Ekonomi setakat ini, manakala satu kaji selidik yang dijalankan oleh SME Corporation dalam suku ketiga 2017 mendapati 40 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ditemu bual menjangkakan perniagaan mereka bertambah baik dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Kerajaan telah memberi perhatian kepada keperluan sumber manusia industri yang berkembang dengan mengambil langkah menyediakan tenaga kerja bagi memenuhi perubahan ciri-ciri pekerjaan, termasuk strategi meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula tenaga kerja, terutamanya dalam keadaan ‘megatrends’ seperti Industri 4.0 dan automasi, kata Mustapa.

“Meskipun kami mengakui ada berlaku pemberhentian pekerja, namun kami perlu tekankan bahawa kebanyakan pekerja yang diberhentikan telah diambil bekerja semula oleh syarikat baharu dan sedia ada ketika syarikat-syarikat itu berkembang untuk memenuhi peningkatan permintaan.

“Sebagai contoh, peratusan besar pekerja yang dihentikan daripada syarikat seperti Seagate, Hitachi Global Storage Technology dan Rubicon di Pulau Pinang telah diserap oleh firma-firma lain yang mengembangkan operasi mereka seperti Keysight, Inari, HP, Osram and Infineon,” kata Mustapa.

Dari 2014 hingga 2016, projek pembuatan baharu yang dilaksanakan telah mewujudkan lebih 153,000 pekerjaan dan tambahan 32,700 pekerjaan dalam sektor pembuatan akan diwujudkan daripada pelaburan yang diperoleh dalam tempoh Januari-September 2017.

Mustapa berkata sejumlah besar pelaburan baharu dan pengembangan yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat pada tahun lepas seperti Broadcom dan Osram di Pulau Pinang, Konica Minolta di Melaka, Infineon di Kedah, Roland dan IKEA di Selangor, serta BMW di Johor, telah mewujudkan lebih banyak pekerjaan di negara ini.

Syarikat minyak dan gas juga mula mengambil semula pekerja, terutamanya dalam perniagaan huluan dan hiliran apabila mereka memanfaatkan harga minyak yang tinggi ketika ini, katanya.

“Juga penting untuk dimaklumkan bahawa setakat suku ketiga 2017, jumlah pekerja bergaji meningkat kepada 14.48 juta daripada 14.42 juta dalam suku sebelumnya,” katanya.

Isu lain yang dibincangkan semasa dialog itu adalah mengenai pengambilan buruh asing.

“Mereka terus menekankan tentang perlunya ada semakan semula holistik dasar-dasar bagi buruh asing dan meningkatkan kecekapan dan pemudahan pentadbiran bagi menggalakkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif,” kata Mustapa.

Pada masa depan, MITI akan terus melibatkan sektor swasta untuk merapatkan jurang antara permintaan mereka dan keseluruhan dasar kerajaan.

“Kadar pengangguran kita ketika ini sekitar 3.3 peratus merupakan yang terendah di rantau ini dan dijangka kekal stabil. Kita percaya pelaksanaan dasar makroekonomi yang kukuh, cadangan bajet 2018 dan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), serta eksport dan aliran pelaburan kukuh berterusan akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan dalam negara,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *